OLEH KERANA MENIMBULKAN PELBAGAI REAKSI: APA KATA JIKA NURUL IZZAH SECARA SUKARELA MENGUNDURKAN DIRI?

 

Selama lebih dua bulan memegang jawatan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim secara umumnya telah berjaya meletakkan dirinya sebagai ketua kerajaan yang amat membanggakan seluruh rakyat jelata.

Penampakan ke arah perubahan dan sebagai pemimpin reformis juga terlihat ada sinar di hujung terowong melalui kerja kuat dan satu demi satu pembaharuan yang diumumkannya.

Rakyat rata-ratanya gembira sehingga ke mana saja Anwar pergi, sambutannya amat membanggakan, disusuli pula harga ayam mula stabil, telur tidak lagi sukar diperolehi, nilai ringgit semakin baik, menu rahmah diperkenal untuk golongan susah dan beserta pelbagai kebaikan lainnya melalui lain-lain kementerian, negara ini tambah diyakini sedang berada di landasan yang betul untuk terus memacu kemajuannya.

Di sudut yang lain, penerimaan dunia dan pemimpin antarabangsa terhadap Anwar juga amat baik sekali dan ini memberi harapan lebih banyak pelaburan bakal mencurah tidak lama lagi.

Pendek kata, menjelang 100 hari sebagai Perdana Menteri yang detiknya bakal menjelang tiba, Anwar seperti sedang dipersiapkan untuk diraikan dengan pelbagai kejayaan dan pembaharuan yang menggembirakan semua orang.

Ditambah dengan bagaimana Anwar menunaikan satu demi satu janji terhadap Sabah dan Sarawak, diikuti dengan kepimpinan UMNO sedia ada kekal sepenggal lagi, kerajaan perpaduan ini sangat diyakini mampu bertahan tanpa gangguan sehingga PRU16 akan datang.

Serentak dengan itu, turut diyakini, kiranya kerajaan perpaduan ini mampu bertahan lagi, ia akhirnya bukan masalah besar untuk Anwar mampu bertahan sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya selama tiga penggal.

Begitu pun, lantikan Nurul Izzah secara diam sejak 3 Januari lalu dan hanya terdedah semalam, 29 Januari sebagai penasihat kanan berkaitan ekonomi dan kewangan di PMO, telah merencatkan segala-galanya.

Tindakan Anwar melantik anak sulung perempuannya itu bukan dipertikaikan dari segi kelayakan, tidak menerima gaji atau sebagainya, tetapi apabila seorang bapa melantik anak sendiri berkhidmat di jabatan di bawahnya, ia dengan sendirinya membuka pintu fitnah, memberi peluru kepada lawan, membolehkan persepsi dijaja secara bermaharajalela serta bertentangan dengan moral reformasi.

Ia bukan saja tidak baik kepada Anwar sendiri sebagai seorang reformis yang jika diselak kembali ucapannya sejak puluhan tahun lalu yang didapati begitu banyak penentangan terhadap amalan mengutamakan keluarga dan anak-beranak, malah di waktu yang sama menyebabkan sesama PKR, PH dan penyokongnya sendiri jadi berbalah serta mula berpecah.

Yang terang-terang bercakap sudah tawar hati dan hilang keyakinan kepada Anwar juga mula kedengaran di mana-mana.

Bukankah jika tiada lantikan Nurul Izzah itu, atmosfera PH dan PKR sebenarnya aman-aman saja?

Anwar sendiri tentunya tidak perlu membuang banyak masa mengulas atau menjawab isu berkenaan jika tiada lantikan tersebut.

Dalam hal ini, sementara isu lantikan Nurul Izzah akan terus diperdebatkan entah berapa lama lagi, prestasi dan peranannya diperhatikan, kelibatnya disoroti sama ada ikut sama naik jet atau tidak jika Anwar ke luar negara misalnya, yang pasti kedudukan kerajaan perpaduan yang sebelum ini dibanggakan tidak lagi seutuh yang sepatutnya.

Percayalah, apabila rakyat mula mengomel dan mencemuh, sebagaimana banyak berlaku kepada beberapa kerajaan di seluruh dunia sebelum ini, ia tidak akan mampu bertahan dengan lama.

Sebagai langkah paling harmoni dan menunjukkan dirinya anak yang baik serta mahu melihat bapanya kekal lebih lama memimpin kerajaan perpaduan, apa kata jika Nurul Izzah sendiri menawarkan pengunduran diri secara sukarela daripada jawatan itu?

Lagi pun, sebagai Naib Presiden lantikan dalam PKR, walaupun tanpa jawatan sebagai penasihat kanan di PMO, beliau masih boleh menyumbang idea dan buah fikiran melalui pelbagai saluran kepada Perdana Menteri atas kapasitinya itu.

Jawatan itu pun tanpa gaji, jadi tiada sesiapa yang rugi jika mengundurkan diri.

Sebelum Anwar terus dikecam sambil tertekan dengan lantikan yang dibuatnya itu, Nurul Izzah, melalui pengunduran diri secara sukarela bererti sedia melakukan pengorbanan untuk mengembalikan kedamaian kepada kerajaan yang belum pun berusia tiga bulan.

Ini akan membolehkan dikenang dan terus disanjung, tidak mustahil akan memudahkan lagi laluan menjadi Perdana Wanita pertama suatu hari nanti. – ShahbudinHusin 30/01/2023.



No comments: