KALAU IKUT SUCINYA REFORMASI, JANGANKAN PENASIHAT KANAN, JADI KERANI CABUK PMO PUN TAK DIBENARKAN


Semua orang pada umumnya faham dan menerima Nurul Izzah sebagai pemimpin penting dalam PKR, malah dalam kebangkitan reformasi sejak dulu lagi.


Dengan beberapa penggal sebagai Ahli Parlimen, walau kalah di Permatang Pauh dalam PRU15 lalu serta sekarang berjawatan Naib Presiden PKR, tidaklah janggal jika beliau dilantik sebagai menteri atau pengerusi GLC setelah PH berjaya menjadi kerajaan dan bapanya, Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.


Seseorang anak yang memang aktif dalam politik, berjawatan dan ada kelayakan, tidaklah menjadi salah jika memegang apa-apa jawatan yang bersesuaian dalam kerajaan di mana bapanya sendiri mengetuai kerajaan itu.


Ia sama seperti Mukhriz Mahathir menjadi Menteri Besar Kedah ketika Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Tamrin Ghafar dilantik sebagai Pengerusi MARA di ketika ayahnya, Tun Ghafar Baba memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.


Begitu juga dengan Nurul Izzah, Anwar tidak akan dilihat salah jika melantiknya sebagai menteri atau pengerusi GLC berikutan kedudukan dan penglibatannya dalam parti dan perjuangan reformasi selama ini.


Tambahan lagi jika dicampur dengan harapan ramai bahawa Nurul Izzah adalah bakal Perdana Menteri wanita pertama .di masa depan, melantiknya dalam jawatan kerajaan sebagai proses latihan serta pendedahan amat-amatlah wajar sekali.


Sebagai salah seorang pejuang yang terlibat aktif dalam perang, memperolehi sebahagian ghanimah atau “harta rampasan perang” tidaklah menjadi kesalahan buat Nurul Izzah.


Tetapi, dengan Anwar sebagai Perdana Menteri dan kemudian melantik anaknya itu sebagai penasihat kanan berkaitan ekonomi dan kewangan di PMO amatlah tidak kena.


Perlantikan itu menjadikan semangat perjuangan reformasi yang menolak nepotisme atau lantikan keluarga yang dikumandangkan selama ini telah tercemar dengan sendirinya.


Dengan Nurul Izzah memegang jawatan penasihat di kanan PMO di mana Anwar adalah Perdana Menteri mendedahkan lantikan itu kepada pelbagai kemungkinan, tanggapan serta persepsi yang tidak baik di mata rakyat.


Ia juga seolah-olah meletakkan Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi dan beberapa penasihat di Kementerian Kewangan yang diketuai Hassan Merican tidak cukup berwibawa dan berkemampuan untuk menasihati Anwar mengurus ekonomi negara.


Malah dengan semua cabang media sosial mempertikai lantikan itu, keadaan kini seperti Anwar sendiri telah membekalkan peluru kepada pihak lawan untuk menembak PH, PKR dan kerajaan perpaduan.


Walaupun Anwar menyebut Nurul Izzah tidak dibayar gaji, tetapi isunya di sini ialah kuasa yang ada di sebalik jawatan tersebut.


Jika kita imbas kembali betapa sucinya perjuangan reformasi yang diangkat oleh Anwar dan PKR sejak 24 tahun lalu, sebenarnya jangankan untuk pegang jawatan penasihat kanan, jadi kerani cabuk di PMO pun tidak boleh dipegang oleh seorang anak jika bapanya menjadi Perdana Menteri.


Dalam hal ini, tindakan Anwar mempertahankan kelayakan Nurul Izzah dalam lantikan itu adalah tersasar kerana isunya di sini bukanlah berkaitan kelayakan, kemampuan atau sijil yang dimiliki.


Dalam politik dan kerajaan, imej dan melaksanakan perjuangan sebagaimana diutarakan ketika sebelum menjadi kerajaan adalah jauh lebih penting.


Kalau Anwar dan PKR bukan mengangkat reformasi sebagai intipati perjuangan tidak sama sekali berhasrat melahirkan sebuah kerajaan yang berwibawa, tetapi semata-mata kerana inginkan kuasa, barangkali lantikan Nurul Izzah itu boleh diwajarkan dengan pelbagai alasan.


Namun, sebagai parti reformasi, lantikan atau berperanan di bawah bapa sendiri adalah tindakan mencemarinya dengan sengaja.


Lebih sayang lagi, tercemarnya perjuangan suci reformasi itu berlaku hanya lebih kurang dua bulan saja setelah Anwar menjadi Perdana Menteri.


Lalu, bagaimanakah kerajaan perpaduan ini mahu dipertahankan lebih lama lagi? – ShahbudinHusin 29/01/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/01/29/kalau-ikut-sucinya-reformasi-jangankan-penasihat-khas-jadi-kerani-cabuk-pun-tak-dibenarkan.html