Dari Rafizi Ramli
16 Ogos 2022
SUBKON BARU TUBUH 45 HARI, TERUS BUAT TUNTUTAN RM178 JUTA
Kebelakangan ini kerajaan PAS-UMNO-BERSATU cuba mengalih
perhatian dari isu sebenar yang menimbulkan kemarahan rakyat. Mesin propaganda
PAS-UMNO-BERSATU yang diketuai Dato’ Seri Najib Razak cuba meyakinkan rakyat
bahawa tiada penyelewengan berlaku, hanyalah kelewatan projek.
Sehingga kini, Najib sendiri belum menjawab soalan-soalan pokok
yang saya utarakan sejak saya mendedahkan butiran projek LCS yang mengesahkan
ada penyelewengan:
1. Kenapa reka bentuk dan kelas kapal LCS diubah di saat akhir
dari yang telah diluluskan, iaitu dari kelas Sigma (Belanda) kepada kelas
Gowind (Perancis)?
2. Siapa yang lebih berkuasa dari Menteri Pertahanan ketika itu
(Zahid Hamidi) yang boleh mempengaruhi keputusan?
3. Kenapa kontraktor utama (Boustead Naval Shipyard, BNS)
melantik subkontraktor berlapis-lapis, adakah untuk menyembunyikan penglibatan
DCNS yang ada reputasi dan skandal terdahulu berkait dengan Najib?
4. Kenapa kos untuk dua pakej utama naik harga dua kali ganda
(dari RM397 juta kepada RM1.2 bilion) apabila melalui dua lapisan
subkontraktor?
Kesemua ini melibatkan dua bentuk keputusan utama.
Pertama, keputusan teknikal berhubung pilihan reka bentuk dan
teknologi kapal perang (yang berubah dari kelas Sigma kepada kelas Gowind).
Kedua, keputusan kewangan, peruntukan dan pembayaran yang
sepatutnya tertakluk kepada semua Pekeliling Perbendaharaan yang mengawal selia
urusan tuntutan dari kontraktor dan subkontraktor.
Umum mengetahui bahawa keseluruhan tadbir urus kewangan negara
dipandu dan dikawal oleh satu set Pekeliling Perbendaharaan, yang pada
prinsipnya menekankan perkara-perkara berikut:
1. Kontraktor perlu dilantik dari kalangan pembekal yang paling
layak berdasarkan keupayaan teknikal dan pada harga yang
terbaik
kepada kerajaan
2. Kontraktor perlu mempunyai kekuatan kewangan dan aliran tunai
sendiri untuk menjalankan kontrak
3. Bayaran hanya boleh dibuat mengikut kemajuan projek dan
dibayar secara berpatutan mengikut peratusan projek dilaksanakan, seperti yang
dipersetujui mengikut dokumen kontrak yang dimeterai dengan kerajaan
Maklumat dalaman mengenai urusan tuntutan dan bayaran berhubung
projek LCS menunjukkan kesemua perkara (1) hingga (3) yang saya sebut telah
dilanggar. Ada bukti yang menunjukkan sama ada kontrak kerajaan dengan BNS
tidak mengikut peraturan kewangan Pekeliling Perbendaharaan, atau pun
pembayaran dibuat tanpa mengikut kemajuan projek yang melanggar Pekeliling
Perbendaharaan.
Bayaran-bayaran besar dikendalikan oleh Kementerian Pertahanan
dan Kementerian Kewangan. Peruntukan disediakan oleh Kementerian Kewangan.
Menteri Kewangan semasa projek LCS ini diluluskan dan bayaran-bayaran awal
dibuat adalah Najib.
Sebelum ini, kita tahu bahawa sebanyak RM400 juta dari bayaran
pendahuluan projek LCS untuk membayar hutang lapuk BNS. Perkara ini sepatutnya
melanggar peraturan kewangan mengikut Pekeliling Perbendaharaan, iaitu bayaran
pendahuluan sesuatu projek hanya boleh digunakan untuk projek itu. Jika kita
membuat pinjaman sekali pun, bank hanya akan membenarkan pinjaman dikeluarkan
bagi tujuan pinjaman itu diluluskan.
Hari ini, saya ingin mendedahkan satu lagi pembayaran yang tidak
mengikut prinsip-prinsip di dalam Pekeliling Perbendaharaan.
Kertas siasatan dalaman projek LCS menunjukkan bahawa
subkontraktor lapisan kedua (Contraves Electrodynamics Sdn Bhd, atau CED)
membuat tuntutan sebanyak RM178 juta sebagai yuran memulakan kerja
(“mobilisation fee”) pada hari yang sama ia dilantik, sedangkan pada ketika itu
subkontraktor ini ditubuhkan 45 hari sebelum itu.
The Vibes sebelum ini melaporkan CED ditubuhkan pada 23 Februari
2012, iaitu 45 hari sebelum ia dilantik sebagai subkontraktor lapisan kedua
untuk pakej utama bernilai RM1.2 bilion.
https://www.thevibes.com/.../company-set-up-mere-45-days...
Rentetan peristiwa mengenai bayaran yang melanggar prinsip urus
tadbir Pekeliling Perbendaharaan adalah seperti berikut:
9 April 2012 – BNS melantik Contraves Advanced Devices (CAD)
sebagai subkontraktor bagi dua pakej utama bernilai RM1.2 bilion
9 April 2012 – CAD melantik CED, sebuah syarikat yang baru
berusia 45 hari sebagai subkontraktor bagi dua pakej yang dianugerahkan oleh
BNS
9 April 2012 – CED membuat tuntutan sebanyak RM178 juta sebagai
yuran memulakan kerja pada hari yang sama ia dilantik sebagai kontraktor
lapisan kedua
Transaksi-transaksi sebegini merupakan satu penyelewengan yang
melanggar peraturan pembayaran Kementerian Kewangan.
Sebagai Menteri Kewangan pada ketika itu, Najib mesti menjawab
bagaimana sebuah subkontraktor yang hanya berusia 45 hari boleh membuat
tuntutan berjumlah RM178 juta dari projek pertahanan utama negara?
Penyelewengan-penyelewengan beginilah yang menyebabkan BNS akhirnya tidak
mempunyai dana (walaupun telah dibayar kerajaan) dan projek tergendala sehingga
tidak ada satu kapal pun siap hingga ke hari ini.
RAFIZI RAMLI