#Artikel - 'Ini bukan replika, ini kapal sebenar'
Lumut: "Bukan kapal halimunan (tetapi) kapal (dibina
menggunakan) metal (logam) sebenar bukan daripada kayu. Ini bukan replika ini,
ini kapal sebenar," kata Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard
Sdn Bhd (BNS), Ir Azhar Jumaat.
Azhar memberi penjelasan itu berhubung pembinaan Kapal Tempur
Pesisir (LCS) disifatkan sebagai 'halimun' oleh netizen berhubung skandal
perolehan kapal berkenaan.
Azhar berkata, pihaknya tidak akan mengelirukan Sultan Perak,
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sekali gus menyifatkan dakwaan yang dilontorkan
berhubung pembinaan kapal itu tidak benar.
Menurutnya, setakatnya ini pihaknya sudah membina lima daripada
enam kapal LCS yang dilakukan di Lumut Shipyard dalam pangkalan Tentera Laut
Diraja Malaysia (TLDM), di sini.
"Ramai buat dakwaan (kapal LCS adalah) halimun, kapal
dibuat daripada kayu malah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
dikelirukan. Semua dakwaan ini tidak benar.
"Buat apa kami nak mengelirukan sultan kami. Anda boleh
lihat lima kapal LCS ini sedang dibangunkan dan ini adalah apa yang dilakukan
dengan lebih RM6 bilion yang kami terima," katanya pada sesi taklimat dan
lawatan media ke limbungan berkenaan di pangkalan TLDM, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pembinaan lima kapal LCS
berkenaan juga mencapai proses memberangsangkan.
Bagaimanapun katanya, untuk jangkaan masa semua kapal berkenaan
dapat disiapkan beliau tidak dapat mengulas lanjut dan akan dimaklumkan oleh
kerajaan.
"Setakat ini lima kapal LCS dalam pembinaan iaitu 60
peratus untuk kapal pertama diikuti 48 peratus (kapal kedua), 43 peratus (kapal
ketiga), 36 peratus (kapal keempat) dan 22 peratus bagi kapal kelima,"
katanya.
Khamis lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam
laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima
kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan
secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima, setakat ini.
Sebelum ini juga, Harian Metro melaporkan, pembayaran RM6 bilion
daripada nilai keseluruhan kontrak kapal LCS dibuat bagi menampung perbelanjaan
pembelian hampir semua peralatan diperlukan bagi pembinaan enam kapal itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),
Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman dilaporkan berkata, nilai keseluruhan kontrak
projek LCS adalah RM9 bilion dengan kemajuan pembinaan lima kapal ketika ini
adalah 55 peratus.
Sumber :
Harian Metro