KEGAGALAN LCS ADALAH SUATU KISAH NGERI – PENGERUSI PAC




Sejurus selepas laporan PAC mengenai Kapal Tempur Pesisir (LCS) dibentangkan, seorang rakan wartawan telah menghantar mesej kepada saya, bertanya “Apakah perasaan anda?”

Saya jawab: “𝐌𝐞𝐧𝐲𝐞𝐝𝐢𝐡𝐤𝐚𝐧”.

Kami telah mengadakan 10 prosiding, dengan satu lawatan tapak ke limbungan kapal BNS di Lumut, dan memanggil 21 orang saksi. Akhirnya, sebuah Laporan dengan 247 muka surat, berserta dengan dengan penyata hansard sebanyak 489 muka surat, dan 192 muka slaid telah dibentangkan sebagai laporan penuh.

PAC memutuskan untuk melawat limbungan kapal BNS selepas menerima keterangan dari KSU MINDEF, saksi dari BNS, dan bekas Menteri Pertahanan DS Zahid Hamidi.

𝐋𝐚𝐰𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐓𝐚𝐩𝐚𝐤 @ 𝟏𝟏/𝟏𝟐/𝟐𝟎𝟐𝟏

Kami tiba di limbungan kapal pada jam 9 pagi, 11 Disember 2021. Prosiding bermula pada jam 9.05 pagi dengan kehadiran saksi dari MINDEF, Tentera Laut, BHIC, dan BNS. Untuk dinamakan, tiga orang saksi penting turut hadir bersama iaitu Ketua Pegawai Eksekutif BHIC, Sharifuddin Md Zaini, Pengarah Projek LCS BNS Kepten (B) Ir Azhar Jumaat, dan bekas Ketua Pasukan Projek Tentera Laut, Lak. Muda Datuk Ir. Mohd Saiful.

Prosiding berlangsung selama 3 jam, berakhir pada 12.01 tengahari dan semua orang beredar untuk ke lawatan tapak.

𝐆𝐮𝐝𝐚𝐧𝐠 𝐒𝐢𝐦𝐩𝐚𝐧𝐚𝐧

PAC dibawa untuk melawat gudang simpanan. Terdapat sejumlah 13 gudang simpanan yang menyimpan perkakasan yang berkaitan dengan projek LCS ini, 5 secara khusus untuk perkakasan LCS dan 8 lagi digunakan sebagai Gudang Simpanan Am BNS yang mengandungi campuran perkakasan untuk LCS dan barang-barang lain.

Kami melawat beberapa gudang simpanan. Terdapat perkakasan persenjataan, bahagian-bahagian untukr tujuan pembinaan kapal, dan barang-barang lain. Apa yang menonjol adalah beberapa bungkusan TV Pintar, untuk tujuan kegunaan LCS, disimpan di stor ini. Kita semua tahu yang TV Pintar ini tidak lagi pintar selepas beberapa tahun.

Saya tidak pasti mengenai yang lain, terutama mengenai bahagian dan perkakasan yang melibatkan teknologi kapal tempur. Kami menyemak dan mendapati banyak perkakasan dan barangan ini dibeli pada tahun 2013, 2014, dan 2015. Persoalan timbul sama ada barang-barang ini masih cukup “pintar” untuk kegunaan masa sekarang apabila mengambil kira kemajuan teknologi terkini.

Kami dimaklumkan nilai barangan dalam simpanan ini adalah RM1,757,791,266.02. Saya bertanya kepada BNS, berapa banyak daripada barangan ini boleh dikira usang dan jawapan dianggarkan pada kira-kira 15%. Bermakna kerugian sebanyak kira-kira RM263,668,689.90.

Adakah semua perkakasan ini telah dibayar oleh BNS? Tidak, bukan semuanya telah dibayar. Kerana ini kita boleh baca mengenai hutang besar BNS kepada pengeluar asal (OEM) yang telah menyebabkan arahan henti kerja dan henti bekalan.

𝐓𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐏𝐞𝐦𝐛𝐢𝐧𝐚𝐚𝐧

Kami kemudiannya dibawa untuk melawat LCS1 di tapak pembinaanya. Melihat kapal ini, seseorang mungkin tidak pasti sama ada ia adalah kapal yang sama yang “dilancarkan” pada tahun 2017, tetapi kami tahu ia adalah kapal yang sama. Sudah tentu sekali, tiang utama kapal yang dipertikaikan itu sudah tidak ada.

Kami naik ke blok utama, untuk melihat tahap kemajuan proses pembinaan. MINDEF memaklumkan PAC yang kadar kemajuan proses pembinaan LCS1 pada tahap 44%.

Kami meluangkan masa kira-kira satu jam dalam LCS1 dan kemudiannya pulang ke bas. Bas ini membawa kami ke seluruh tapak pembinaan untuk LCS1 hingga ke LCS5. Sudah tidak ada pekerja di tapak pembinaan ini, baik tempatan atau pekerja asing, dan sudah tidak ada kerja yang berjalan. Kosong, segalanya terhenti. Perkara ini amat menyedihkan memandangkan kita semua tahu yang RM6 billion telah pun dibelanjakan.

𝐒𝐮𝐝𝐚𝐡 𝐓𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐀𝐝𝐚 𝐖𝐚𝐧𝐠

Dalam mesyuarat sebelum ini, kami dimaklumkan bahawa kedudukan kewangan BNS berada dalam keadaan yang buruk kerana salah tadbir urus dalam Syarikat ini.

Ahli PAC, YB Wong Shu Qi bertanya sama ada semua RM6 billion telah dibelanjakan oleh BNS. Ketua Pegawai Eksekutif BHIC, Sharifuddin mengakui “memang duit kita sudah habis… company memang tidak ada duit dan memang akan lingkup pun besok silap-silap.” Gaji pekerja dipotong sejak Oktober 2020, caruman KWSP tidak dibayar sejak Mei 2021. BNS memang bergantung kepada kerja kecil-kecilan seperti kerja pembaikan untuk TLDM untuk terus bertahan. (Hal 49 Hansard)

Sharifuddin mengatakan lagi kepada PAC, sekiranya BNS tidak ada lagi, Boustead Holdings dan LTAT akan terkesan teruk. Sektor Perladangan, Pharmaniaga, Boustead Properties dan Boustead Hotels semua akan terkesan. Perkara ini berkemungkinan menyebabkan LTAT untuk kehilangan sehingga 46% saiz dananya. (Hal 52 Hansard)

𝐌𝐞𝐧𝐲𝐞𝐝𝐢𝐡𝐤𝐚𝐧

Perkara ini amatlah menyedihkan dan mengecewakan. Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya adalah, bagaimana sebuah syarikat yang mendapat kontrak yang bernilai RM9 billion dari Kerajaan jadi sampai tahap sebegini? Perkara ini pastinya melibatkan lebih dari salah urus. Pastinya ada perkara lain selain dari pengurusan yang lemah. Ada perkara yang amat tidak kena dengan mereka yang memegang kuasa dan mereka yang mendapat Kontrak ini.

Saya harap Laporan PAC mengenai LCS ini dapat membantu negara, dengan menjadi rujukan tentang cara bagaimana proses perolehan pertahanan negara TIDAK sepatutnya dilakukan, dan bagaimana kuasa dan proses TIDAK patut disalahguna. Kisah ngeri dalam keseluruhan Projek LCS ini patut menjadi pengajaran kepada semua yang memegang kuasa, baik pada masa sekarang, mahupun pada masa hadapan.

WONG KAH WOH

Pengerusi PAC

12.08.2022.


No comments: