BAWA MELAWAT KAPAL TAK SIAP IBARAT BNS TERJERLUS KE LUBANG SENDIRI…


 Dua hari lalu, sekumpulan wartawan telah dibawa oleh BNS melawat tapak pembinaan kapal perang LCS di Lumut, Perak.

Lawatan itu adalah susulan kontroversi berterusan berkaitan pembinaan kapal perang LCS yang didakwa masih tidak siap, walaupun RM6 bilion sudah dibayar dan tempoh masa sepatutnya siap juga sudah lama berlalu.

Dalam lawatan itu, pihak media dibawa melihat kemudahan simpanan di tapak pembinaan sebagai langkah ketelusan berhubung pembinaan kapal-kapal tersebut.

Media turut dibenarkan naik dan melihat sendiri kapal pertama iaitu LCS1, yang setakat April lalu sudah siap 60 peratus.

Kemudian dimaklumkan kepada media bahawa lima kapal yang dibina serentak iaitu LCS2 sudah siap 48 peratus, LCS3 (43 peratus), LCS4 (36 peratus) dan LCS5 (22 peratus).

Pembinaan LCS6 iaitu kapal terakhir bagaimanapun diberitahu belum lagi dimulakan.

Pihak media diberitahu bahawa LCS1 yang sudah siap 60 peratus itu memerlukan kira-kira dua tahun lagi untuk siap sepenuhnya.

Kesimpulan mudah yang ditunjukkan kepada media dalam lawatan itu ialah ialah tiada satu pun lagi kapal LCS yang siap dibina, malah LCS1 yang paling tinggi proses kemajuannya iaitu 60 peratus, masih memerlukan tempoh dua tahun lagi untuk disiapkan.

Kapal-kapal lain dan kapal LCS6 yang belum dibina memerlukan berapa tahun lagi proses penyiapannya?

Walaupun ada pelbagai perkara lain yang disentuh dalam laporan PAC seperti peningkatan kos berbanding harga kontrak dan peralatan serta barangan yang disimpan dalam gudang BNS dikatakan hampir usang, perkara terpokok yang menimbulkan kegemparan umum sehingga menarik minat seluruh rakyat bercakap mengenainya ialah tiada satu pun kapal LSC dapat disiapkan di sebalik RM6 bilion sudah pun dibayar kerajaan.

Itulah isu yang terpenting sekali, manakala yang lain-lain hanyalah isu tambahan yang menyumbang kepada kegagalan kapal LCS disiapkan.

Lantaran itulah timbul sindiran mengatakan kapal LCS adalah projek halimunan.

Halimunan yang dimaksudkan di sini bukanlah ertinya tiada langsung kapal yang dibina, tetapi kerana tiada satu pun kapal yang dapat disiapkan sepenuhnya di sebalik RM6 bilion sudah diterima sebagai bayaran.

Kalau beli pisang goreng dengan harga RM6 pun dapat dilihat bungkusannya dan boleh dibawa balik ke rumah, maka halimunanlah sindiran paling tepat untuk menggambarkan kos RM6 bilion sudah dibayar, tetapi masih tiada kapal dapat dilihat belayar di lautan.

Dalam hal ini dan paling menjadi kerisauan rakyat, ke mana perginya RM6 bilion itu dan berapa lagi kos tambahan diperlukan untuk menyiapkan semua enam kapal itu?

Melalui tindakan BNS membawa media melawat limbungan tempat kapal LCS sedang dibina, tiada apa-apa yang berubah daripada segi tanggapan umum terhadap projek tersebut.

Ia sebaliknya hanya mengesahkan kepada dunia dan sebagamana dilaporkan PAC, memang tiada satu pun kapal perang LCS sudah siap dengan bayaran RM6 bilion sudah diterima oleh BNS.

Keadaan atau persepsi rakyat hanya boleh berubah jika yang ditunjukkan kepada media itu kapal yang sudah siap dan hanya menunggu masa saja untuk berada di dada lautan.

Ini masih perlu masa dua tahun lagi untuk sebuah kapal disiapkan, sedangkan projek sudah dimulakan sejak 2011 lagi.

Jadi, apa tujuan dibawa media melawat tapak limbungan, selain untuk mengesahkan bahawa memang benar tiada satu pun kapal LCS telah siap dibina?

Tidakkah sekarang ini BNS sebenarnya telah terjerlus ke lubang yang ada di depan matanya sendiri? – ShahbudinHusin 14/08/2022.