LAM FB PANDAI ULAS.....


Rayuan SRC International: Najib gugur firma Zaid sebagai peguam cara



Najib Razak tiba di Mahkamah Persekutuan untuk pendengaran rayuannya pagi ini.

PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak telah melepaskan firma guaman yang baru dilantik, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners, daripada mewakilinya dalam rayuan SRC International.

Peguam utama Hisyam Teh memaklumkan perkara ini kepada Mahkamah Persekutuan hari ini apabila perbicaraan disambung semula.

“Peguam cara telah dilepaskan oleh perayu (Najib),” katanya.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, kemudian berkata mahkamah mengambil maklum perkara ini dan memerintahkan pendakwa ad-hoc V Sithambaram meneruskan hujahannya.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Najib melantik firma yang diketuai oleh Zaid Ibrahim itu untuk mengambil alih pembelaannya daripada Shafee & Co bulan lepas.

Najib semalam berkata, walaupun pasukan guamannya sebelum ini yang diketuai Shafee Abdullah telah menjalankan “tugas yang cemerlang” sepanjang empat tahun mewakilinya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam kes ini, beliau merasakan bahawa kegagalan yang dialaminya bermakna beliau perlu “perspektif yang segar” dan “idea baharu”.

Tambahnya, beliau yakin bahawa pelantikan peguam baharu adalah keputusan yang wajar selepas diberitahu bahawa rayuan berprofil tinggi lain pada masa lalu diberikan penangguhan atas semangat proses yang sewajarnya dan untuk memudahkan representasi yang berkesan bagi individu yang dituduh.

Terdahulu, Zaid berkata, firma itu tidak akan meninggalkan Najib sebagai anak guamnya walaupun tidak cukup masa untuk menyediakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Menjadi kewajipan suci mana-mana peguam bela untuk mewakili orang yang dituduh dengan masalah sedemikian,” katanya kepada pemberita.

Mahkamah semalam tidak membenarkan Hisyam melepaskan dirinya sebagai peguam bela Najib selepas beliau memberitahu panel bahawa beliau tidak cukup masa untuk membuat persediaan bagi rayuan itu.

Bagaimanapun, Tengku Maimun berkata, mahkamah sebulat suara berpendapat bahawa Hisyam “gagal mendedahkan alasan kukuh” untuk mewajarkan permohonannya menarik diri, dan mengarahkannya meneruskan tugasnya.

Pada Selasa, pihak pembelaan meminta masa “tiga hingga empat bulan” agar mereka dapat menyediakan kes mereka, tetapi mahkamah menolaknya dengan berkata, pendengaran rayuan perlu diteruskan.

Hakim lain yang bersidang bersama Tengku Maimun termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Zabidin Mohamad Diah.

Najib merayu untuk membatalkan sabitannya atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Sabitannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lepas, begitu juga hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya.


No comments: