DIANTARA KORUPSI DAN RASUAH

 


·

NIK HASYUDEEN

 Di antara korupsi dan rasuah

Semalam saya menghadiri satu perbincangan berkenaan usaha untuk menjadikan masyarakat lebih patuh kepada arahan Allah supaya tidak menzalimi sesama manusia dengan terlibat dengan rasuah dan salahguna kuasa.

Saya bangkitkan berkenaan perbezaan istilah yang digunakan untuk menamakan dosa ini di Indonesia berbanding dengan Malaysia. Di Indonesia penekannya ialah membenteras “korupsi” manakala di Malaysia “corruption” diterjemahkan sebagai “rasuah”. Lihatlah nama SPRM di dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Rasuah di dalam kefahaman umum adalah lebih kecil berbanding dengan korupsi. Mungkin di dalam bahasa Inggerisnya ialah “bribery” atau pun suapan. Manakala korupsi jauh lebih luas sifatnya yang menggambarkan kehancuran nilai di dalam jiwa pelakunya dan merangkumi pelbagai dosa seperti menyalahgunakan kedudukan dan kuasa, menipu, mencuri dan juga makan suap.

Kesemua dosa-dosa di atas melibatkan pengambilan hak manusia secara zalim. Di hari Jumaat ini, marilah kita renung perintah Allah berkenaan dosa-dosa ini:

وَلَا تَأْكُلُوْٓا اَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوْا بِهَآ اِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوْا فَرِيْقًا مِّنْ اَمْوَالِ النَّاسِ بِالْاِثْمِ وَاَنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ

Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu menyuap dengan harta itu kepada para hakim, dengan maksud agar kamu dapat memakan sebagian harta orang lain itu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui.

Al Baqarah: 188

Sekiranya perisian telefon pintar atau komputer kita sudah korup, apa yang akan kita lakukan? Biasanya kita cuba gantikan dengan perisian yang baik. Jika tidak boleh, telefon atau pun komputer berkenaan sudah tidak mampu berfungsi dan menjadi besi buruk sahaja.

Manusia yang korup pun begitulah. Sebagai orang Islam, kita kena cuba selamatkan saudara kita dari api neraka, bukannya berlumba-lumba untuk menerakakan dia. Namun, jika dia tidak sedar diri malahan bangga dengan korupsi yang dilakukan, kita kena buat dia macam telefon dan komputer yang perisiannya sudah korup lah. Bukan terus mahu berikan dia kedudukan dan kuasa supaya dia meneruskan dosa yang dilarang oleh Allah itu.

Tidakkah kita terfikir apa yang akan berlaku ke atas kita jika kita mempertahankan orang yang korup? Apa yang saya takutkan ialah Allah akan merekodkan kita sebagai hamba-hambaNya yang menyebar keburukan di atas muka bumi ini. Janganlah kita menjadi seperti Firaun. Allah hantar Nabi Musa serta saudaranya Harun untuk menyampaikan kebenaran. Ditunjukkan pelbagai mukjizat. Akhirnya Firaun mati tanpa iman kerana tidak mahu menerima kebenaran.

Mungkin kita bersangka baik dengan menganggap seseorang yang korup yang sudah dinasihati itu sudah bertaubat. Jangan lupa salah satu syarat taubat ialah mengaku akan kesalahannya dan meminta maaf dari pihak-pihak yang mana hak-hak mereka sudah diambil secara zalim. Jika dosa berkenaan melibatkan harta negara, tentunya maaf yang diminta itu ialah dari keseluruhan rakyat, tak boleh minta maaf senyap-senyap. Kalau tak mengaku dan menafikan pula perbuatannya, secara zahir dia belum bertaubatlah.

Mungkin isu istilah ini perkara kecil sahaja dan tidak akan mengubah keadaan pun. Namun, memahamkan masyrakat berkenaan keburukan dosa korupsi adalah penting kerana di dalam sistem demokrasi, merekalah yang akan memberi undi kepada orang-orang politik yang akan diberikan kedudukan dan kuasa. Sekiranya rakyat kita selesa dengan orang yang korup, maka negara ini akan ditadbir oleh mereka. Orang yang korup pula tentunya akan selesa dengan pegawai-pegawai yang sama fikrah dengan mereka. Tak kan mereka nak naikkan orang-orang yang jujur dan amanah pula?

Memang usaha membawa kebaikan bukannya senang. Ada banyak kisah nabi-nabi dengan kaum masing-masing yang sampai kepada kita. Hadi Ahad lepas saya diberikan sebuah buku oleh Dr. Sahrulazmi Sidek yang berjodol 13 Kaum Yang Binasa. Di samping cerita kaum Nabi Lut yang dosanya amat dibenci oleh masyarakat kita, ada juga cerita berkenaan kaum Madyan yang menipu di dalam urusniaga. Di zaman moden ini, dosa ini berlaku di sektor awam dan juga swasta. Jadi, kenalah lawan dosa ini sama dengan kita membenci dan melawan dosa kaum Nabi Lut. Jangan pilih-pilih dosa untuk dibenci pula.

Kalau kita tak belajar lagi dari kemusnahan kaum-kaum sebegini, layaklah kita mendapat balasan dari Allah yang Maha Adil itu.