Berapa Ngo sedang susun agenda tukar kerajaan Kelantan
SESUDAH SUBUH
KEINGINAN rakyat Kelantan yang berada di luar (perantau) untuk
melihat berlaku perubahan pemerintahan negeri itu daripada Pas kepada parti
atau entiti lain sangat ketara dan serius. Ini terbukti dengan tertubuhnya
beberapa Ngo yang diasaskan oleh rakyat Kelantan yang berada di luar
Kelantan.
Ngo tersebut lahir atau
ditunjangi oleh individu mempunyai iktisad dari berbagai cabang atau kelas
rakyat Kelantan, profesional, peniaga, mahasiswa dan juga bekas pegawai
kerajaan (pensiun).
Tidak cukup bukti itu,
banyak cakap-cakap dan runggutan kekesalan dan kecewa kepada kerajaan Pas hari
ini dalam menguruskan negeri dan rakyat banyak yang pincang ataupun cacat.
Kelemahan itu menyebabkan seolah-olah kerajaan Kelantan tidak berfungsi dan
hanya setakat melaungkan slogan retorik "Membangun Bersama
Islam" semata-mata.
Banyak tuntutan Islam
tidak dilaksanakan atau diusahakan secara bersungguh. Misalnya kelestarian alam
sekitar, hutan belantara dan sungai di Kelantan diceroboh sesuka hati lantaran
gilakan balak dan mineral sehinggakan Kelantan tidak simpati lagi dengan
haiwan. Baru-baru ini tular harimau belang merayau-rayau di kampung kerana
sudah tidak betah untuk tinggal dihabitat asal mereka kerana ia sudah
dirosakkan.
Beberapa batang sungai
juga airnya tercemar dan keruh menyebabkan segala hidupan di dalamnya seperti
udang dan kelah, sebarau, dan lain-lain sudah pupus atau tidak ada langsung.
Anugerah asal untuk kemakmuran rakyat Kelantan sudah tidak ada lagi.
Kempen menukar kerajaan.
Sehingga kini terdapat
sekurang-kurang tiga buah Ngo yang aktif memberi penerangan atau kempen untuk
menukar kerajaan Kelantan hari ini yang sudah 31 tahun. Ia dijalankan secara
dalam talian atau pun grup WhatsApp. Salah satu ia terdiri daripada rakyat
Kelantan professional terdiri daripada pelbagai bidang.
Ngo berkenaan yang tidak
dizahirkan nama, hanya menyebut "Rakyat Kelantan Prihatin", telah pun
mengadakan sekurang-kurang dua kali pertemuan untuk merangka strategi ataupun
pendekatan yang akan diambil untuk memastikan kerajaan Kelantan yang ada kini
berubah atau berganti dengan kerajaan baru.
Ngo berkenaan tidak
menamakan sesiapa ketua mereka, tetapi bergerak secara bersama dan penuh
iltizam. Antara sebab dan aslasan diberikan kenapa kerajaan Kelantan perlu
ditukar adalah untuk membela rakyat Kelantan bagi mendapat hak mereka seperti
mana diharapkan disamping rakyat dan negeri Kelantan maju sejajar dengan
negeri-negeri lain.
Dengan segala macam aset
atau kekayaan semulajadi Kelantan yang dianugerahkan Allah seharusnya rakyat
Kelantan mendapat kesenangan dan makmur sekiranya negeri Cik Siti Wan Kembang
itu diurus dengan baik dan professional.
Kebijaksanaan pihak yang
memerintah mengurus dan mentadbir Kelantan juga boleh mengeluarkan Kelantan
daripada senarai tiga negeri termiskin di negara ini selepas Sabah, Sarawak dan
Kedah.
Beberapa buah Ngo
berkenaan merumuskan keraguan mereka akan kemampuan kerajaan Kelantan dibawah
Pas kini untuk mengurus dan mentadbir Kelantan dengan baik dan berkesan. Selama
31 tahun Pas memerintah Kelantan sejak tahun 1990 tidak nampak impak besar
berlaku ke atas pembangunan di negeri itu baik sosial, ekonomi, budaya dan juga
pendidikan.
Kalau pun ada pembangunan
dari segi syiar Islam itupun boleh dipertikaikan akan ketepatan dan
keberhasilannya kepada rakyat.
Usahkan pelan struktur
pembangunan fizikal, tetapi pelan dalam khayalan (kepala) para pemimpin hari
ini, pun tidak pernah dibentangkan. Ia jauh berbeza semasa arwah Tok Guru Nik
Aziz Nik Mat ada yang memiliki arkitek pembangunan sosial ekonomi dan
politiknya Husam Musa. Berbagai idea dan cetus projek dilakukan
oleh Husam ketika itu, antara pembinaan lebuh raya rakyat Kelantan (LRK),
projek yang dimulakan dengan penglibatan rakyat (menderma) itu tidak diteruskan
hingga sekarang. Apa juga boleh disebut projek keretapi laju (ECRL), orang
terawal mengimpikan itu ialah Husam.
Kelemauan kerajaan
Kelantan untuk meneruskan projek itu menjelaskan bahawa kerajaan pimpinan Ahmad
Yakob tidak ada political will langsung untuk merubah Kelantan.
Begitu juga dalam bidang
pertanian, untuk menambahkan pendapatan rakyat, berbagai skim dan projek
pembangunan sosial dilaksanakan atau dicetuskan ketika itu. Walaupun beberapa
projek itu tidak berjaya seperti diharapkan, tetapi setidak-tidaknya ia ada
idea dan wawasan jelas untuk membangun Kelantan dan rakyat.
Untuk orang miskin ada
projek rumah Dufah, skim bantuan beras Aitam, pemberian haiwan pawah, bantuan
untuk orang tua dan pelajar, pembukaan ladang rakyat serta pengenalan tanaman
baru seperti depu dan sebagainya.
Tahap keberadaan Kelantan
dalam aspek pembangunan asas juga seperti dahulu. Kelantan belum ada satu pun
projek mega yang boleh meledakkan pembangunan di Kelantan seperti industeri
hiliran sekaligus menjadi ikon kepada kerajaan berusia 31 tahun. Ketiadaan
pembangunan ini adalah disebabkan ketidak mampuan kerajaan yang ada hari ini.
Manakala pendekatan atau
sikap diambil oleh Ngo berkenaan dalam usaha merubah kerajaan kini bukan
berpihak kepada mana-mana parti politik. Ia bukan partisan. Ngo berkenaan
akan menggerakkan memberi pemahaman dan kesedaran umum khasnya pengundi di
Kelantan untuk tidak memilih parti politik bagi pembentukan kerajaan apa lagi
mengekalkan wakil-wakil rakyat yang berada di kerusi MB, TMB dan Exco
sekarang.
Sebaliknya rakyat
Kelantan disarankan untuk memilih individu atau batang tubuh dalam pilihan raya
akan datang yang diharap diangkat menjadi pemimpin kerajaan.
Individu yang akan
dipilih itu nanti mereka yang mempunyai kepakaran, berilmu sesuai dengan
citarasa rakyat Kelantan, ada kesedaran dan komitmen tinggi untuk merubah
Kelantan. Mereka juga bersikap terbuka "tasamuh" dan tidak emotif
dengan parti politik.
Dalam hal ini satu kaedah
atau garis panduan akan dikeluarkan oleh Ngo berkenaan kepada pengundi Kelantan
untuk memilih wakil-wakil rakyat kelak menjelang pilihan raya kelak. Mungkin
juga Ngo itu akan menunjukkan individu yang diharap untuk menjadi MB Kelantan
selepas ini.[wm.kl.8:38 am 19/01/2022]