Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak wajar dilakukan dalam
keadaan pandemik Covid 19 belum berakhir juga penderitaan mangsa banjir di
beberapa daerah di negeri itu masih belum pulih.
Namun Umno - BN Johor tidak mengambil kira faktor kesukaran hidup
rakyat kecuali percaturan kuasa.
Bagi Senator Fadhlina Sidek, gila kuasa parti ketuanan Melayu itu
sudah sampai ke tahap melampau selepas memaksakan PRN Melaka, kini mereka mula
mencatur politik Johor.
"Begitulah sejenis perangai gila kuasa. Dia panggil sidang
khas banjir (Parlimen), dia salahkan Pembangkang
"Rakyat tunjuk perasaan bantah integriti Ketua Pesuruhjaya
SPRM, dia tutup laluan dan henti operasi LRT
"Sekarang dia bubar DUN ikut suka hati dan acah acah suruh
rakyat pilih dia balik ikut proses demokrasi," katanya.
Menurut pemerhati politik, PRN Johor sengaja diadakan pada tarikh
menghampiri Tahun Baharu Cina kerana faktor pengundi Cina tidak akan pulang ke
Johor buat kali kedua untuk mengundi selepas merayakan tahun baharu.
Prosedur Operasi Piawai (SOP) kempen yang ketat kerana negara
masih dalam Fasa 4 pelan pemulihan juga bakal menyebabkan kempen pilihan raya
secara fizikal dilarang.
Dengan hampir sepertiga Johor tidak mempunyai akses gelombang
internet yang boleh mengakses video atau sebarang kempen secara live maka
Pembangkang akan menghadapi kesukaran untuk menyampaikan mesej kepada pengundi.
Sedangkan pihak kerajaan bebas menggunakan media arus perdana
memperkenalkan calon calon mereka dalam pelbagai program anjuran kerajaan.