“PRN JOHOR, SATU LAGI GERAKAN POLITIK ALA MAO TZE TUNG OLEH UMNO”

 

Umno telah bekerjasama dengan Bersatu, PAS, GPS dan Kelompok “Pengkhianat” dari Keadilan untuk tumbangkan Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020.

Ini bermakna Umno telah mengguna pakai strategi Mao Tze Tung yang memimpin Parti Komunis China yang membina front bersatu (united front) dengan General Chiang Kai Sheik, pemimpin Parti Kuomintang dalam usaha mereka mengalahkan Fasis Jepun selepas Perang Dunia Kedua.

Dalam usaha bersama Mao Tze Tung dan Chiang Kai Sheik itu, Imperialis Jepun dapat dikalahkan oleh rakyat China.

Manakala di Malaysia, usaha front bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin yang disokong Umno telah berjaya menumbangkan Kerajaan tidak popular Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Langkawi pada 23 Februari 2020.

Selepas berada di dalam kerajaan campuran yang dipanggil Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dari Bersatu, Umno tidak berdiam diri.

Umno mahu jatuhkan Muhyiddin Yassin pula sebagai Perdana Menteri untuk diganti oleh seorang Perdana Menteri dari Umno.

Strategi yang dipakai oleh Umno pimpinan Ahmad Zahid Hamidi ketika itu ialah memecahkan front bersatu Perikatan Nasional. Apa yang berlaku ialah 15 ahli parlimen Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin dan kerajaan pimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu tumbang macam “daun terup” pada September 2021.

Ahli Parlimen Umno dari Bera, Pahang, selepas kejatuhan Muhyiddin, secara “by default” telah diangkat menjadi Perdana Menteri, walaupun Ismail Sabri Yaakob hanya Naib Presiden Umno, orang ketiga sahaja di dalam hiraki kepimpinan Umno.

Kini selepas Umno mempunyai ahli parlimennya sendiri menjadi Perdana Menteri yang mentadbir Kerajaan Pusat di Putrajaya, maka Umno bergerak ke depan lagi dengan menggunakan strategi terkenal Mao Tze Tung yang kedua iaitu “mengepung kota dari desa”.

Sama ada Umno sedar atau tidak, sekarang strategi inilah yang sedang diguna pakai oleh Umno.

Jika Putrajaya dianggap “Kota” maka 13 negeri-negeri dalam Malaysia yang lain boleh dipanggil sebagai “Desa”.

Strategi Mao Tze Tung mengalahkan Kerajaan Pusat China yang dipimpin oleh General Chiang Kai Sheik ialah dengan kaedah “mengepung kota dari desa”.

Hal yang selari sedang berlaku di Malaysia. Ia bermula dengan Pilihanraya Negeri Sabah di tengah-tengah Pandemik Covid-19 yang dicetuskan oleh pimpinan Umno Sabah seperti bekas Ketua Menteri, Musa Aman. Strategi itu berjaya. Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Warisan di bawah Ketua Menteri Shafie Afdal tumbang. Umno berjaya naik jadi rakan kerajaan campuran Sabah yang dipimpin oleh Ketua Menteri dari Bersatu.

Satu “desa” telah tumbang iaitu Sabah, satu wilayah di Borneo yang penting bagi Umno.

Umno tidak dapat bertapak di Sarawak, tetapi sekurang-kurang kini bagi Umno dia berada dalam kerajaan negeri Sabah dengan Bung Mokhtar dari Umno menjadi salah seorang Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Selepas PH kalah di Sabah, kini Umno mahu tawan satu lagi negeri di Semenanjung.

Umno sebelum PRU-14 memang kuat di Melaka.

Jadi Umno mengatur strategi di Melaka. Bagi Umno, bagai “Pucuk dicita tetapi ulam mendatang” di Melaka. Atas “Strategi Kurang Cerdik” PH di Melaka, maka PH seperti telah memberi peluru kepada Umno untuk ditembak balik kepada PH.

Kerajaan Perikatan Nasional di Melaka tumbang dan Pilihanraya Negeri di Melaka diadakan pada 20 Oktober 2021.

Umno menang besar melebihi majoriti dua pertiga dan bukan sahaja berjaya mengalahkan PH tetapi Umno berjaya memusnahkan Bersatu di Melaka. Kini Umno jadi “Raja Perang” di Melaka selepas Pilihanraya Negeri tersebut.

Seterusnya kita ke seberang Laut Cina Selatan. Umno tidak jadi “pemain politik” di Sarawak. Umno tidak bertanding dalam Pilihanraya Negeri Sarawak pada bulan Disember 2021.

Tetapi Umno ada sejarah perhubungan yang erat dengan Parti Pesaka Bumiputera di Sarawak dan Kerajaan Sarawak sejak dari zaman Tun Abdul Rahman Yaakob hinggalah zaman Tun Taib Mahmud dan kini Abang Johari Tun Openg. Apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar di Sarawak bererti Umno mempunyai rakan yang mesra dengannya di Bumi Kenyalang itu.

Selepas Sarawak, Umno mensasarkan satu lagi negeri untuk jatuh di bawah kuasanya. Umno merancang Pilihanraya Negeri Johor yang menyaksikan Kerajaan campuran Umno, Bersatu dan Pas yang hanya ada 28 kerusi berbanding PH memiliki 27 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Walaupun tidak ada gangguan dan ancaman dari PH di Johor terhadap kestabilan Kerajaan campuran Johor, malahan PH Johor sanggup melakukan “Gencatan Senjata” supaya Kerajaan Johor dapat mentadbir sehingga tempoh penggal DUN Johor berakhir pada tahun 2023, tetapi Umno yang kelihatan begitu gelojoh dan rakus untuk bubarkan DUN Johor agar pilihanraya negeri dapat diadakan demi Umno dapat berkuasa semula sepenuhnya di Johor. Seperti di Melaka, objektif Umno bukan sahaja untuk menewaskan PH tetapi Umno juga mahu hapuskan Bersatu dari bumi Johor.

Berbagai kempen “psy war” atau “perang urat saraf” dilancarkan oleh Umno di Pusat pimpinan Ahmad Zahid Hamidi dengan bersekongkol dengan Umno Johor.

Akhirnya pada Sabtu 22 Januari 2022, Sultan Johor, memperkenankan permohonan Menteri Besar Johor supaya Dewan Undangan Johor ke-14 dibubarkan untuk membolehkan satu Pilihanraya Negeri diadakan. Apa yang diidamkan oleh Umno kini telah tercapai di Johor.

Umno tak peduli risiko Covid-19 Omicron di Johor dan juga di Malaysia.

Pada 1 Disember 2021 hanya terdapat 1 kes Omicron. Pada 31 Disember 2021 naik jadi 64 kes. Umno tak peduli nyawa rakyat. Pada 13 Januari 2022, naik lagi menjadi 253 kes Omicron. Umno apa peduli walaupun Johor antara negeri tertinggi kadar jangkitan Covid-19.

Pada 18 Januari 2022 jumlah jangkitan Covid-19 varian Omicron ialah 439 kes.

Umno tak kisah akibat PRN di Johor ini nanti akan berulang wabak Covid-19 seperti di Sabah selepas pilihanraya negeri.

Umno tidak peduli sains dan data bahawa varian Omicron membiak dengan amat pantas mengalahkan Delta.Bagi Umno yang penting ialah kuasa, kuasa dan kuasa.

Hanya kali ini, Umno tidak mudah di Johor. Umno akan menghadapi tentangan yang kuat dari Pakatan Harapan Johor. Strategi “mengepung kota dari desa” yang dipinjam oleh Umno dari “playbook” Parti Komunis China akan bertemu “buku dengan ruas” di Johor.

Umno satu-satunya parti politik semasa berkuasa di dalam Kerajaan Persekutuan yang ada hubungan rasmi dengan Parti Komunis China yang memerintah Republik Rakyat China.

Waktu Umno bersahabat dengan Parti Komunis China inilah besar kemungkinan pemimpin-pemimpin Umno belajar strategi Mao Tze Tung iaitu membina “front bersatu” dan “mengepung kota dari desa”.

Walaupun Umno besar kemungkinan akan kalah dalam Pilihanraya Negeri Johor akan datang ini, tetapi kekalahan Umno itu nanti akan dianggap oleh para pimpinannya sebagai kalah satu medan tempur sahaja, bukannya kalah dalam satu peperangan besar.

Selepas Johor, strategi Umno untuk “mengepung kota dari desa” akan sampai ke Perak pula.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

Sabtu 22 Januari 2022



No comments: