ROYALTI MINYAK MESTI JADI SASARAN BARU POLITIK KELANTAN – ZAID IBRAHIM


 Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini mengumumkan pemberian RM400 juta kapada Kelantan sebagai sebahagian dari wang royalti minyak. Katanya Kelantan berhak kepada 5% daripada penjualan hasil minyak di perairan negeri itu walaupun sebelum ini beliau berkata Kelantan hanya berhak menerima “wang ehsan” kerana katanya tidak ada minyak di perairan Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Haji Ahmad Yaakob menjelaskan bahawa wang yang disebut oleh Zafrul itu bukan wang royalti minyak. Ianya wang yang diberi oleh kerajaan pusat sebagai “goodwill payments” atau “wang ehsan”. Ianya juga bukan sebahagian dari tuntutan negeri Kelantan untuk royalti minyak.

Saya ucap tahniah kapada Dato’ Menteri Besar. Pemimipin negeri Kelantan mestilah komitted dan tegas dalam soal tuntutan royalti 5% ini. Jangan ada was-was. Kalau kita percaya tentang tuntutan itu ada asasnya, maka pemimipin Kelantan janganlah mudah menerima sumbangan dan sedekah daripada kerajaan pusat sebagai ganti tuntutan royalti itu.

Sarawak mestilah menjadi pengajaran kepada kita di Kelantan. Kemiskinan di Sarawak telah banyak berkurangan. Infrastruktur penting telah dapat dibina, projek minyak dan hidro telah pun dapat dilaksanakan. Sekolah-sekolah yang perlu dibaiki dapat dibaiki oleh kerajaan Sarawak menggunakan wangnya sendiri walau pun membaiki sekolah ini sepatutnya tanggungjawab kerajaan pusat.

Projek perumahan untuk golongan bawahan dan miskin juga telah dapat dilaksanakan. Inilah yang boleh dilakukan oleh kerajaan Kelantan jika mereka berjaya menuntut wang royalti minyak 5% daripada kerajaan Pusat.

PAS perlu mengmbil pendekatan baru setelah 32 tahum memerintah negeri Kelantan. Cara lama yang hanya melakukan solat hajat dan soal-soal ibadah dan pakaian wanita perlu ditambah dengan dasar pembangunan yang boleh membantu rakyat.

Mereka perlukan kehidupan yang lebih selesa. Hasil negeri yang bergantung kapada balak mesti diubah. Kalau dapat wang royalt minyak, Kelantan boleh berhenti menebang balak selama 20 tahun supaya kita dapat lancarkan proses tanam semula balak baru untuk menyelamatkan alam sekitar. Banyak lagi projek boleh dilakukan untuk kepentingan rakyat.

Sebab itu dalam pilihanraya akan datang ini Pas Kelantan perlu memilih calon mereka yang menyokong tuntutan wang minyak ini. Bukan sahaja menyokong tetapi mesti tegas terhadap Petronas dan Putrajaya jika mereka terus enggan melaksanakan bayaran 20 billion yang mereka masih berhutang dengan Kelantan.

PAS sekarang sibuk dengan pergeseran dalaman. Katanya konflik mereka berkisar kepada dua pihak, satu menyokong UMNO dan satu lagi yang sokong Bersatu.

Bukankah ini sia-sia belaka. Sepatutnya PAS bertindak untuk memastikan perjuangan politik mereka mendapat wang royalti minyak sebagai keutaman. Apa guna Bersatu, Mahaiddin, UMNO dan lain-lain kalau wang minyak tidak dapat kepada rakyat? Apa guna perpaduan ummah kalau ummah tetap miskin dan wang kita digunakan oleih pihak lain?

Saya harap Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yaakob terus memperjuangakn kepentingan negeri Kelantan. Ini bererti wang minyak mesti menjadi sasaran politik Kelantan. Kita tidak ada hasil atau kemudahan lain untuk membangunkan negeri kita. Wang minyak sajalah harapan kita.

ZAID IBRAHIM

Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.


No comments: