BOLEH SAJA..TAPI JANGAN TUKAR MERCEDES SELALU WALAU MISKIN

 

Perjuang royalti minyak, saya perlu 14 Ahli Parlimen berani tanding di Kelantan, kata Zaid



Zaid Ibrahim berkata mereka akan berkempen hanya melibatkan satu
 isu iaitu Perdana Menteri perlu membayar balik hutang RM20 bilion
 kepada Kelantan dan selepas itu, membayar royalti minyak 5% kepada
 negeri itu setiap tahun.


PETALING JAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta Ahli Parlimen Kota Bharu, Zaid Ibrahim mencari 14 Ahli Parlimen baharu yang berani bertanding di Kelantan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Zaid berkata, beliau hanya mempunyai satu misi iaitu menggesa sekumpulan ahli akademik dan ahli perniagaan Kelantan berkelayakan untuk mengambil alih dan bertanding sebagai calon Parlimen di negeri asal mereka.

Katanya, mereka akan berkempen hanya melibatkan satu isu iaitu Perdana Menteri perlu membayar balik hutang RM20 bilion kepada Kelantan dan selepas itu, membayar royalti minyak 5% kepada negeri itu setiap tahun.

“Jika tidak, blok Kelantan akan menariknya ke bawah (tarik sokongan). Jika Sarawak boleh menarik Perdana Menteri dengan 18 kerusi GPS (Gabungan Parti Sarawak), kita di Kelantan boleh melakukan perkara sama dengan 14 kerusi kita ada.

“Saya mengingatkan mereka bahawa kemiskinan di Melayu Kelantan dan Terengganu adalah di luar kemampuan mana-mana kerajaan untuk menyelesaikannya tanpa royalti minyak. Ia akan menjadi masalah kepada generasi melainkan royalti dibayar kepada kedua-dua negeri ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Zaid berkata, kempen mendapatkan kembali royalti minyak bukanlah masalah undang-undang sebaliknya ia lebih kepada politik.

Katanya, ia mendapat tarikan kerana rakyat akan memahami isu yang dipertikaikan jika diterangkan kepada mereka.

“Rakyat akan menyokong dakwaan itu jika kita boleh menjelaskan kepada mereka bagaimana mereka disajikan dengan pembohongan selama ini,” katanya merujuk kepada pembohongan mengenai sempadan perairan maritim antara Kelantan dan Terengganu.

Beliau mempersoalkan mengapa saluran paip gas dari Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand perlu disalurkan ke Narathiwat, Thailand, dan bukannya ke Kota Bharu.

“Kami akan menjelaskan bahawa pemimpin PAS tidak berguna, sama seperti Menteri Persekutuan. Apakah yang telah dilakukan oleh pemimpin Umno dan PAS selama 30 tahun mereka berkuasa untuk mendapatkan royalti minyak yang menjadi milik kita?

“Tidak diketahui ahli politik ini ada memperjuangkan kesejahteraan rakyat. Saya memberitahu orang Kelantan terang-terang bahawa tidak kira parti politik mana mereka atau mereka bukan politik.

“Apa yang penting ialah mereka bersetuju dengan tuntutan tunggal supaya royalti minyak diberikan negeri-negeri, tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan. Minyak jangan sekali lagi digunakan untuk memeras ugut rakyat Kelantan dalam membuat keputusan politik,” katanya.

Katanya, banyak bukti bahawa orang Kelantan boleh menjadi pemimpin dalam perniagaan dan usahawan berjaya jika diberi peluang.

“Manfaat daripada royalti minyak akan memakmurkan rakyat di Kelantan dan Terengganu, sekali gus. Bagaimana kita boleh ke sana? Apa yang kita perlukan hanyalah 14 lelaki dan wanita yang berani untuk melakukannya pada PRU15 ini,” tulisnya.

No comments: