“Saya telah bercakap kepada Anwar (Ibrahim),…Wan Azizah boleh mengangkat sumpah sebagai perdana menteri serta-merta jika Anwar bersetuju untuk PKR keluar daripada PH dan menjadi mesra BN. Tetapi beliau belum memberikan respon setakat ini,” kata Najib.

Petikan tawaran Najib itu terkandung dalam buku “Final Reckoning: An Insider’s View of the Fall of Malaysia’s Barisan Nasional Government,” yang ditulis Romen Bose, konsultan komunikasi politik kepada Perdana Menteri ketika itu.

Romen Bose.

Mengimbas suasana di kediaman Najib pada malam 9 Mei itu, Bose berkata isteri timbalan presiden Umno ketika itu Ahmad Zahid Hamidi dan isteri naib presiden Hishammuddin Hussein bergenang air mata susulan keputusan PRU itu.

Dalam bukunya, Romen memetik Najib sebagai berkata beliau tiada masalah sekiranya Wan Azizah dilantik Perdana Menteri dengan Zahid timbalannya, “asalkan kita memastikan jawatan PM di luar capaian Mahathir”.

Najib, kata Romen, ketika itu akur beliau tidak ada pilihan kecuali mengisytiharkan kerajaan BN tumbang.

Bagaimanapun pada kira-kira 2.30 pagi, 10 Mei, keadaan mula berubah. Najib memaklumkan beliau belum bersedia untuk mengisytiharkan kekalahan, tetapi pada masa sama, memaklumkan Anwar belum memberikan sebarang persetujuan.

Dalam buku itu, Bose berkata beliau diberitahu oleh sumbernya, Najib mendapat tawaran seorang taikun daripada Malaysia Timur untuk ‘menyelamatkan’ kerajaan BN pimpinannya dengan syarat tertentu.

“(Sumber itu) berkata taikun berkenaan bersedia mendapatkan 20 Ahli Parlimen pembangkang dari Sabah dan Sarawak untuk menyokong sebuah kerajaan BN, dengan syarat Najib segera melaksanakan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963),” kata Bose.

Najib mengadakan perbincangan dengan taikun itu pada kira-kira 4 pagi.

Selain menuntut pelaksanaan MA63, taikun itu memberitahu Najib, Ahli Parlimen terbabit mahukan antara RM3 juta hingga RM5 juta setiap orang untuk memberi sokongan kepada BN.

“Najib berkata beliau tidak akan membayar Ahli Parlimen berkenaan tetapi bersetuju mempertimbang penyaluran lebih banyak kemudahan dan bantuan untuk kawasan masing-masing sebagai pertukaran untuk memperolehi sokongan mereka,” katanya.

Najib juga keberatan untuk melayan satu lagi syarat tambahan iaitu Musa Aman mesti meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah dan diganti presiden Warisan, Shafie Abdullah, menurut buku itu.

Romen berkata Najib tidak mahu bertindak demikian kerana Musa pemimpin popular dan pengunduran beliau akan “memusnahkan” BN Sabah.

Perbincangan itu akhirnya terbukti tidak membawa sebarang hasil, begitu juga tawaran yang dibuat kepada Anwar.

Beberapa hari kemudian, Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri untuk kali kedua.

Buku karya Bose akan berada dalam pasaran mulai hari ini. Tempahan awal boleh dibuat melalui kedai buku ini:

Kinokuniya
MPH
Popular

Petikan daripada buku itu disiarkan dengan kebenaran Penguin Random House SEA