Pindaan MA63 lulus dengan undi belah bahagi


Seramai 28 Ahli Parlimen telah membahaskan Rang Undang-Undang
 Perlembagaan (Pindaan) 2021 yang dinanti-nantikan untuk bacaan kali
 kedua di Dewan Rakyat awal hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan Persekutuan agar selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan hari ini melalui undian belah bahagi di Dewan Rakyat selepas bacaan kali ketiga.

Undian dibahagikan kepada lima blok iaitu terdiri daripada Ahli Parlimen mewakili kerajaan, dan Ahli Parlimen pembangkang.

Ini menyaksikan lebih ramai Ahli Parlimen menyokong rang undang-undang (RUU) itu.

Seramai 199 Ahli Parlimen bersetuju, dengan tiada yang tidak bersetuju sementara 21 lagi tidak hadir.

Keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun.

“Maka, undian lebih dua pertiga,” kata Azhar.

Seramai 28 Ahli Parlimen telah membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2021 yang dinanti-nantikan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat awal hari ini.

Bacaan kali pertama RUU itu dibuat pada 3 Nov lalu.

Parlimen memerlukan majoriti dua pertiga untuk meminda perlembagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah membentangkan RUU yang menyaksikan Ahli Parlimen meminta Putrajaya memberi komitmen bahawa ia akan melayan Sabah dan Sarawak secara sama rata dengan peluang pembangunan yang sama.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pula menggesa pemimpin Borneo untuk menghentikan penyalahgunaan imigresen dan rasuah.

RUU itu bertujuan antara lain menyenaraikan Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai rakan kongsi yang sama dalam persekutuan dengan negeri-negeri semenanjung.

Menurut RUU itu, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada:

  • (a) Negeri-Negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan
  • (b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Pada masa lalu, terdapat rasa tidak puas hati terhadap autonomi kedua-dua negeri, dengan kedua-duanya mendakwa pihak berkuasa persekutuan bersikap sombong.

Terdapat juga rasa tidak senang terhadap pembangunan yang “lambat” di kedua-dua negeri itu.

Apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya pada 2018, ia telah menubuhkan jawatankuasa peringkat persekutuan untuk memberi lebih kuasa kepada dua negeri Borneo itu.

Isu itu berterusan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan kini di bawah kerajaan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.


No comments: