Banjir, puluhan pemandu terkandas, tidur dalam kereta

 


Hujan lebat di Lembah Klang sejak pagi semalam menyebabkan puluhan pemandu terpaksa bermalam di dalam kenderaan masing-masing.

Ini berikutan laluan pulang ke rumah mereka di Setia Alam serta Bukit Raja di Klang telah ditenggelami air.

Jalan-jalan utama di Setia Alam yang menghubungkan Meru dan Bandar Bukit Raja di Klang dinaiki air antara dua hingga tiga meter sejak lewat malam tadi menyebabkan ramai pengguna jalan raya yang pulang kerja lewat malam terperangkap dan tidak dapat pulang ke rumah hingga tengah hari ini.

Setakat 1 tengah hari, hujan masih lebat turun di sekitar Lembah Klang.

Tinjauan Bernama di jalan utama menghubungkan Setia Alam dengan Meru mendapati puluhan kenderaan masih berhenti di tepi jalan kerana laluan yang dinaiki air itu hanya boleh dilalui kenderaan berat seperti bas dan lori.

Mohd Faizol Adzhar Mohd Mohtar, 34, berkata beliau terpaksa tidur di dalam kereta yang diletakkan di kawasan parkir kira-kira dua kilometer dari apartmennya di Bandar Bukit Raja sebelum berjalan kaki pulang pagi ini.

“Saya balik kerja dari Kuala Lumpur pukul 9.30 malam tadi dan saya berhenti makan kerana jalan sesak, tiba di Setia Alam kira-kira pukul 12 tengah malam saya dapati semua jalan menuju ke rumah saya dinaiki air.

“Keadaan waktu itu hujan lebat dan saya ambil keputusan untuk tidur di dalam kereta kerana tidak mahu ambil risiko meredah air banjir yang tinggi,” katanya kepada Bernama hari ini.




No comments: