Seorang YouTuber, Apit Wan Lebo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas tuduhan menghantar komunikasi jelik, Mei lalu.
Apit atau nama sebenarnya, Roshafeez Abdul Hamid, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 1.30 petang, 9 Mei 2021 dengan menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook akaun profil Apit Wan Lebo yang telah dibaca di Pejabat Siasatan Jenayah IPD Batu Gajah, kira-kira jam 10.30 pagi, 10 Mei 2021.
Dia didakwa di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.
Sabit kesalahan membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda RM1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi menawarkan jaminan RM10,000 tetapi peguam, Keshvindar Singh memohon jumlah yang minima kerana tertuduh hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dengan menjual nasi lemak di hadapan rumahnya di Kuala Kangsar, di samping mempunyai lima orang anak.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Januari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada Mei tular video berdurasi empat minit 15 saat di media sosial yang memaparkan seorang lelaki melahirkan perasaan tidak puas hatinya terhadap kerajaan kerana melaksanakan PKP 3.0 yang disifatkan sebagai longgar berbanding PKP 1.0..