ADUN Hulu Kinta cabar Exco Perak debat turunkan harga barang



 

Lanjutan pendedahan di sidang DUN Perak mengenai kenaikan harga barang pada peringkat pemborong dan peruncit tetapi kekal murah di peringkat petani, ADUN Hulu Kinta, Muhammad Arafat Varisai Mahamad mencabar Exco Kerajaan Negeri Perak, Razman Zakaria untuk berdebat.

Katanya, surat cabaran debat telah pun dihantar kepada Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan semalam dan beliau mengharapkan pemimpin Pas itu berani untuk berhadapan dan menjelaskan lebih lanjut jawapan yang beliau diberikan dalam sidang DUN.


"Saya kesal jawapan tak bertanggungjawab Razman. Oleh itu kita telah hantar surat jemputan debat isu kenaikan harga barang, sudah ada cop akuan terima pejabat Exco.


"Saya mencabar YB Razman selaku Exco berdebat secara terbuka dengan saya berkenaan harga barang.


"Dalam debat nanti saya nak bagi cadangan atau kaedah yang perlu diambil Exco bagi penurunan harga barang," katanya dipetik.


Arafat menyerahkan kepada Razman menentukan tarikh, masa dan lokasi majlis debat berkenaan.


Kelmarin, Razman dalam sidang DUN Perak berkata, selagi mana manusia hidup isu harga barang naik tidak akan selesai. Beliau menggesa rakyat menerima sahaja hakikat isu kenaikan harga barang.


No comments: