UMNO NAK DIADAKAN SEGERA. BERSATU NAK IANYA DILAMBATKAN. KEDUA DUA PARTI AKAN HADAPI PENOLAKAN DARI RAKYAT KERANA KIANAT

 

Pemuda Bersatu juga lemah, kata Wan Fayhsal





Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata kelemahan juga
 berlaku di peringkat sayap Pemuda Bersatu. (Gambar Facebook Wan
 Ahmad Fayhsal)


KUALA LUMPUR: Pemuda Bersatu akur dan mengakui kelemahan dibangkitkan Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu dalam parti itu dan ia antara punca kekalahan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata kelemahan juga berlaku di peringkat sayap Pemuda Bersatu.

“Kebanyakan yang menyertai Bersatu tidak pernah menyertai parti politik lain sebelum ini. Ahli Armada (Pemuda) pun semua pertama kali sertai politik. Saya pun pertama kali isi borang parti politik. Jadi kami memang kurang pengalaman, kurang ilmu tapi kami akan dimatangkan dengan pengalaman yang telah kami lalui di Sabah dan Melaka.

“Kita belajar daripada kelemahan dan kesilapan dan kita akan baiki, kita tidak mahu salahkan mana-mana pihak…yang penting kita tahu untuk kita kekal relevan pada pilihan raya akan datang,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Agung Tahunan Pemuda dan Wanita Bersatu kali ke-4.

Terdahulu, dalam ucapan perasmian Pemuda dan Wanita, Faizal berkata keghairahan menuding jari, suka jadi “VIP” dan kurang dekati pengundi antara punca Perikatan Nasional (PN) tewas di 26 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka.

Faizal bagaimanapun menolak desakan sesetengah pihak mahukan parti itu dibubarkan kerana kekalahan di Melaka.

Sementara itu, ketika diminta mengulas desakan beberapa pemimpin Umno supaya pilihan raya umum diadakan secepat mungkin, Fayhsal berkata ia tidak perlu diadakan tergesa-gesa.

“Kami sebenarnya beranggapan pilihan raya umum perlu ditangguhkan sementara waktu sampailah kita benar-benar berjaya selesaikan Covid-19 dan ekonomi.

“Bila? Itu terpulang kepada kemampuan kerajaan dalam usaha pemulihan negara yang sepatutnya bermula tahun depan dengan lebih rancak,” katanya.