PH desak SPRM siasat projek paip TSGP Sabah dan MPP bernilai RM9.4 bilion

 


Oleh MALAYSIA DATELINE / October 23, 2021

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak untuk menyiasat projek Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP) yang dihidupkan semula oleh kerajaan Perikatan Nasional pada 10 Februari lalu.

Majlis Presiden Pakatan Harapan mengakui terkejut dengan pemberitahuan menteri kewangan di Parlimen baru-baru ini berhubung keputusan kerajaan menghidupkan semula kedua-dua projek yang diluluskan di zaman Barisan Nasional itu.

Menurut PH, bayaran telah dibuat ke atas kedua-dua projek TSGP dan MPP sebanyak 88 peratus daripada nilai pembinaan atau RM8.3 bilion, walaupun kemajuan kerja hanya 13 peratus setakat Mei 2018.

“Nilai pembinaan keseluruhan TSGP dan MPP ialah RM9.4 bilion tanpa mengambil kira kos tambahan pelbagai pengurusan pakar dan pengambilan tanah sebanyak RM1.7 bilion.

“Oleh itu, SPRM wajib menyiasat sepenuhnya mengapa projek TSGP dan MPP yang telah gagal ini dimulakan semula pada 10 Februari 2021 oleh Perikatan Nasional di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin,” katanya dalam satu kenyataan petang tadi.

Sementara itu, PH turut menggesa SPRM melipat gandakan usaha menyiasat isu Pandora Papers.

Kertas berkenaan telah menamakan sejumlah tokoh korporat dan ahli politik yang didakwa memiliki akaun-akaun luar pesisir, dan sama ada duit yang disimpan di dalam akaun-akaun ini berasal dari sumber yang sah atau dari kegiatan-kegiatan yang melanggar undang-undang.

“Adalah mendukacitakan jika SPRM tiada keupayaan memperoleh maklumat khusus dan perlu bertanyakan Ketua Pembangkang tentang Pandora Papers sungguhpun beliau tidak memiliki sumber-sumber seperti yang dipunyai SPRM dan juga tiada kepakaran siasatan khas berkait isu
ini,” ujar PH.

Kenyataan dibuat bersama PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; AMANAH, Mohamad Sabu; DAP, Lim Guan Eng; Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.

 


No comments: