Hasbie Muda dilantik Ketua Pemuda Amanah baharu

 


NAIB Pengerusi Amanah Terengganu, Hasbie Muda dilantik sebagai Ketua Pemuda Amanah yang baharu menggantikan penyandangnya Allahyarham Shazni Munir Mohd Ithnin yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada 6 Ogos lalu.

Pemilihan itu dibuat oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda AMANAH Nasional yang dipilih oleh perwakilan penghujung 2019.

AJK Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah, Syazmir Hariz Noorazalan, berharap kepemimpinan yang baharu itu dapat mengisi kelompongan yang telah lama wujud sejak pemilihan 2019.

“Benar Langkah Sheraton telah melukakan kita semua, namun luka itu tidak perlu dibiarkan menjadi barah sehingga tidak mampu berfungsi lagi.

“Ia harus diubati segera dengan daya kepimpinan yang lebih cergas dan bermaya demi menyayingi kepimpinan pemuda parti-parti lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, posisi Amanah dalam Pakatan Harapan (PH) juga akan menjadi indikator kepimpinan Ketua Pemuda Amanah yang baharu.

“Harapannya agar peranan Amanah tidak dikesampingkan dalam PH khususnya Pemuda. Pandangan masyarakat kepada kepimpinan Pemuda Amanah Nasional merupakan asas penting kerana politik itu adalah persepsi.

“Gagal mengurus persepsi akan mengurangkan sokongan masyarakat pada Amanah khususnya Pemuda,” katanya.

Syazmir juga Pemuda Amanah akan bergerak lebih gagah dan bersemangat bagi memastikan Amanah kekal relevan dalam politik Malaysia dan mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan dikembalikan dalam PRU akan datang.

No comments: