Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengingatkan Adun Sungai Udang Idris Haron untuk tidak mengacau mesyuarat parti itu.
Reaksi Ahmad itu susulan dakwaan bahawa Idris dikatakan hadir mesyuarat Umno Cawangan Klebang Kechil sekaligus dianggap mencetuskan kekecohan.
Ahmad berkata Idris sedar dirinya telah dipecat daripada Umno dengan surat pemecatan yang dikeluarkan pada 5 Oktober.
“Kenapa orang yang dah bukan ahli nak datang mesyuarat Umno ini,” soalnya.
“Itu sesuatu yang pelik, tapi benar berlaku pada Datuk Seri Idris Haron.. Apa yang nak disesali lagi?
“Kalau nak ceramah, ceramah la tempat lain, jangan ganggu mesyuarat Umno,” kata Ahmad lapor Astro Awani.
Walau bagaimanapun, Idris yang telah dipecat Umno kerana peranannya dalam menjatuhkan kerajaan Umno-Bersatu di Melaka menafikan dia menjadi individu tidak diundang dan ‘mencetuskan ketegangan’ pada mesyuarat Umno di Melaka itu.
Idris menegaskan halaman kediamannya amat hampir dengan majlis mesyuarat Umno itu yang disifatkannya sebagai ‘berkongsi halaman.’
“Semasa saya berborak dengan ibu saya, mereka (ahli Umno cawangan) yang berkumpul untuk mesyuarat Umno cawangan buat bising.
“Saya pergi ke halaman rumah itu dan meminta mereka senyap sedikit kerana terlalu bising sedangkan saya sedang berborak dengan ibu saya tetapi mereka degil,” lapor Berita Harian.
Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata beliau mengambil peluang memberikan penjelasan kepada ahli Umno mengenai situasi politik semasa di Melaka.
Dalam masa sama, beliau juga meminta ahli Umno cawangan itu membawa usul tiga pemimpin parti disingkirkan kerana didakwa “menyebabkan banyak kerosakan kepada Umno.”
“Selepas meminta mereka membawa usul itu, saya pun balik, tak ada pun saya buat kacau-bilau,” katanya lagi.