BN KEKAL SOLO DAN PN TANDING SEMUA KERUSI DI MELAKA, PAS IKUT SIAPA? ADAKAH PAS AKAN HANYA BERGAYUT PADA PARTI LAIN TANPA KEKUATAN SENDIRI ?

 

Berikutan ketegasan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi untuk parti itu bertanding secara solo dalam PRN Melaka dan kemudian diikuti dengan kenyataan Mahiaddin Md Yasin bahawa PN akan bertanding di semua 28 kerusi, kedudukan Pas kini paling menjadi tanda tanya.

Pas sebelum ini melalui suara beberapa pemimpinnya seringkali mahukan UMNO/Pas/Bersatu saling bekerjasama dalam menghadapi pilihanraya negeri itu.

Pas mahu berbuat demikian bukan saja untuk menghalang PH daripada kembali berkuasa, tetapi juga untuk memastikan mereka sendiri sebagai parti yang tidak pernah menang di Melaka akhirnya berpeluang bertapak dan memperolehi kerusi di negeri itu.

Tetapi, perkembangan mutakhir memperlihatkan persefahaman untuk bekerjasama antara UMNO dan Bersatu terlalu sukar untuk dicapai.

Faktor utama ialah berkenaan pembahagian kerusi di mana UMNO dan Bersatu saling berebut kawasan yang sama iaitu yang dihuni majoriti pengundi Melayu.

UMNO sekarang ini memiliki 13 kerusi yang dimenanginya pada PRU14 berbanding 18 kerusi yang ditandinginya dalam pilihanraya tersebut.

Untuk PRN ini, UMNO bukan saia mahu memastikan 13 kerusi itu dapat dipertahankan lagi, malah enggan berganjak kurang daripada 18 kerusi yang pernah ditandingi dalam PRU sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Bersatu difahamkan mahu diperuntukkan lapan kerusi dalam rundingan awal dengan UMNO, manakala untuk PN secara keseluruhan pula gabungan itu menuntut antara 12 hingga 13 kerusi.

Daripada 12 atau 13 kerusi yang diminta itu, Pas berminat untuk bertanding lima kerusi daripadanya.

Memandangkan UMNO dan Bersatu sama-sama berebut kawasan pengundi Melayu, jika UMNO sedia beralah dengan tuntutan Bersatu itu, ia bermakna mereka terpaksa mengorbankan sebahagian kerusi yang dimenanginya sekarang untuk diserahkan kepada Bersatu.

Jika lapan kerusi diminta Bersatu itu mahu dipenuhi,sedangkan daripada 28 kerusi yang ada di Melaka hanya ada sekitar 21 kerusi saja yang merupakan kawasan majoriti Melayu, diikuti dengan Pas meminta lima kerusi, ertinya UMNO hanya ditinggalkan dengan lapan kerusi saja.

Dengan bertanding 18 kerusi dan menang 13 daripadanya, tetapi jika hanya diperuntukkan lapan kerusi saja dalam PRN kali ini tentulah mustahil untuk UMNO menyetujuinya.

Maka itu, hampir tidak pada pilihan lin buat kedua-dua parti itu melainkan masing-masing bertanding atas panji-panji sendiri.

Maknanya, UMNO akan bertanding atas tiket BN, manakala Bersatu dengan Pas menggunakan tiket PN.

Soalnya, sediakah Pas bertanding atas tiket PN untuk berlawan dengan BN dan PH dalam pertandingan tiga penjuru dalam PRN Melaka ini?

Walaupun Pas adalah anggota rasmi gabungan PN, kita juga sedia maklum parti itu masih lagi berada dalam kolam MN yang tidak didaftarkan bersama dengan UMNO kerana merasakan melalui kerjasama tiga parti itu akan lebih menguntungkannya.

Tambahan lagi, dengan kerusi Perdana Menteri kini berada di tangan UMNO, masih kekalkah Pas dengan kesetiaannya sebagai anggita rasmi bersama Bersatu dalam PNbukan saja di PRN Melaka tetapi juga untuk PRU15 akan datang? – ShahbudinHusin 23/10/2021.


No comments: