Oleh SITI NUR ZAWANI
MISCON Foto WAN ZAHARI WAN SALLEH / October 23, 2021
Pengerusi Pakatan
Harapan Melaka, Adly Zahari memberitahu sepanjang 22 bulan pentadbiran PH,
gabungan itu tidak pernah lari dari kesedaran memikul tanggungjawab membantu
rakyat.
Beliau berkata, banyak
inisiatif yang digerakkan PH seperti program perumahan rakyat yang diberikan
secara percuma kepada penduduk Melaka dan 100 buah rumah sudah pun siap ketika
gabungan itu mentadbir.
Menurutnya, beliau menyedari
bahawa anak muda yang mula membina kehidupan mahukan rumah dan ramai penduduk
di Melaka sendiri sukar membeli rumah pertama mereka.
“Keutamaan kita adalah rakyat
sepanjang 22 bulan mentadbir. Antara aspek penting adalah perumahan rakyat yang
kami bina dengan harga RM37,500. Kita juga beri rumah percuma. Apa ruginya
kita?
“Kita
mahu tolong rakyat. Kita buat Rumah Berkat, sewa hanya RM150. Ada yang tanya,
betul ke Yb bagi rumah percuma. Ya. Kita luluskan 100 rumah dan sudah siap.
Sepatutnya kita siapkan 500 rumah. Dapat percuma,” katanya dalam sesi
Pelancaran Jentera Pakatan Harapan Dun Telok Mas malam ini.
Pada
masa sama, Adly berkata, salah satu agenda di masa hadapan yang akan
direalisasikan PH adalah menyediakan lebih banyak perumahan untuk rakyat dengan
kadar sewaan lebih rendah sekitar RM150 sehingga RM200 sebulan.
Sementara
itu, Adly turut menegaskan bahawa kerenah birokrasi yang dihapuskan semasa
pentadbirannya dahulu, tidak seharusnya dilaksanakan semula kerana ia antara
faktor yang menyusahkan hidup rakyat.
Beliau
menyentuh bagaimana rakyat perlu melalui pelbagai proses kelulusan hanya mahu
mendapatkan bantuan dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun proses
itu semua telah dihapuskannya sebelum ini bagi memudahkan rakyat yang
seharusnya layak dibantu.
Menurutnya, jiwa pemimpin yang
tidak memahami permasalahan rakyat menyebabkan rakyat terus susah.
“Jiwa
kita ini tak ada pada rakyat. Contohnya pasal pemberian bakul makanan di Dewan
Undangan Negeri (DUN), Ketua Menteri memang tidak ada jiwa untuk rakyat.
“Dulu
semasa rakyat susah akibat pandemik Covid-19, dia bagi 100 bakul makanan. Bila
masuk fasa 2 dan 3, rakyat dah keluar berniaga dan bekerja, kerajaan luluskan
pula 1,000 bakul.
“Kita
mesti buang kerenah birokrasi. Sistem demokrasi dah jauh menyimpang. Tugas
kerajaan cari di mana orang susah. Kalau peruntukan wakil rakyat RM300,000 dan
wang di Jabatan Kebajikan ada RM76juta, sepatutnya siapa perlu cari orang
susah? JKM, iaitu pelaksana jentera kerajaan,” ujarnya lagi.