Saya mendengar ulasan ustaz berserban ini mengenai salah satu
tafsiran Surah al-Ikhlas yang mengatakan dhomir هو itu kembali kepada Nabi
sallallah alaih wasallam. (Rujuk video asal: https://youtu.be/-I3XkvHTOrE )
Dakwaannya bahawa salah satu tafsiran ialah huwa itu merujuk
kepada Nabi. Lalu ayat pertama ini ditafsirkan dengan:
Katakanlah dia (Muhammad) dan Allah itu satu.
Saya katakan:
Tidak ada dalam ayat itu lafaz "wa" yang bermaksud
"dan" pun sebelum lafaz jalalah "Allah" untuk kita
tafsirkan Nabi dan Allah itu satu.
Satu lagi dhomir akan kembali kepada sebutan yang terdekat
sebelumnya adalah kaedah yang betul. Tapi tafsiran ini menggunakan kaedah di
tempat yang salah. Mana ada nama Nabi Muhammad disebutkan sebelum huwa itu
disebutkan.
Disebabkan itu ulama tafsir mengatakan dhomir huwa dalam ayat
ini adalah dhomir al-Sya'n yang tidak kembali kepada sebutan terdekat sebelum
itu.
Jadi tafsiran sebegini menyalahgunakan kaedah nahu dalam bahasa
Arab.
Sesiapa yang membaca surah al-Ikhlas tahu bahawa surah ini
adalah penegasan terhadap tauhid. Ia merujuk kepada sifat Allah yang Tunggal
dan Esa. Sebab itulah ayat selepas itu juga merujuk kepada sifat Keesaan Allah.
Maka dalam isu ini saya bersama dengan Ustaz Noor Deros. Jangan
dibiarkan penyelewengan terhadap makna surah dalam al-Quran berlaku. Ia mesti
dibanteras. Bahasa Kelantan bahasa yang indah, tetapi penyelewengan dalam
bahasa Kelantan tidak boleh dipertahankan.
Dr Rozaimi Ramle