Menuju negara tua, Malaysia perlu lebih banyak pusat jagaan warga emas, kata Rina


Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun (dua, kiri) beramah mesra dengan penghuni pusat penjagaan dan pemulihan Shalis Centre, Ong Siok Hua,89, pada Program Turun Padang beliau ke negeri Kelantan hari ini. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Lebih banyak pusat penjagaan warga emas diperlukan di negara ini bagi menghadapi status negara tua pada 2030, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun.

Sehubungan itu beliau menggalakkan badan korporat dan swasta turut sama mewujudkan pusat berkenaan yang boleh menyediakan perkhidmatan jagaan harian atau transit kepada mereka yang memerlukan.

Menurutnya pusat itu bukan sahaja menyediakan perkhidmatan jagaan, malah boleh berperanan melahirkan warga emas yang sihat, aktif dan cergas.

“Malaysia akan menjadi negara tua pada 2030, yang menyaksikan 15% rakyat berusia 60 tahun ke atas… tidak sampai 10 tahun lagi, oleh itu kerajaan mahu menggembleng tenaga bersama swasta mewujudkan lebih banyak pusat jagaan warga emas yang turut menyediakan kemudahan bukan sahaja penjagaan, malah fisioterapi dan kaunseling,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau pusat jagaan warga emas Shalis Centre, di sini hari ini beliau berkata ketika ini kerajaan ada menyediakan perkhidmatan yang sama iaitu Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), dan penyertaan pihak swasta dalam mewujudkan pusat yang seumpama itu amat digalakkan.

“Kita dah ada PAWE namun dalam menghadapi negara tua, ada juga anak-anak yang mampu menghantar ibu bapa ke pusat penjagaan berbayar. Setiap pusat jagaan memiliki sasaran tertentu seperti keluarga miskin, daif atau mereka yang berkemampuan,” katanya.

No comments: