PETALING JAYA: Rakyat harus berhenti mengkritik Pakatan Harapan (PH) berhubung memorandum persefahamannya (MoU) dengan kerajaan atas kebimbangan ia dapat meningkatkan peluang Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada pilihan raya umum akan datang (PRU15), kata Lim Kit Siang.
Tambahnya, pemikiran seperti itu salah, terutamanya ketika berdepan impak wabak Covid-19 dan hakikat bahawa ia perlu ditangani dengan usaha bipartisan.
“Ada yang percaya jika Perdana Menteri dapat memenangi peperangan melawan wabak Covid-19, beliau takkan dapat dikalahkan pada PRU15.
“Pemikiran seperti ini salah,” katanya kepada pemimpin DAP Sabah dan Sarawak pada mesyuarat yang diadakan menerusi Zoom malam tadi.
Beliau mengingatkan mereka tentang ancaman daripada Covid-19 dengan lebih dua juta kes dilaporkan dan hampir 25,000 nyawa terkorban.
“Semua rakyat Malaysia, tidak kira bangsa, agama, wilayah, mahupun politik, mesti ada kewajipan tunggal yang sama – memenangi peperangan melawan wabak Covid-19.
“Juga tanggapan bahawa Ismail tidak akan dapat dikalahkan pada PRU15 jika kita membantunya memenangi peperangan melawan wabak Covid-19 mungkin sama sekali tidak betul.
“Winston Churchill menjadi hero perang di Britain ketika mengalahkan Nazi Jerman pada Mei 1945, tetapi pada pilihan raya umum Julai 1945 di United Kingdom, Parti Konservatifnya ditewaskan oleh Parti Buruh yang meraih kemenangan besar dengan 393 kerusi, berbanding 197 kerusi dimenangi Konservatif,” kata Lim.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mengakui bahawa MoU yang ditandatangani antara Perdana Menteri dan pemimpin PH pada 10 Sep mencetuskan pandangan umum yang berbahagi.
“Ada pihak yang menentang MoU itu atas alasan kita tidak sepatutnya mengkhianati prinsip dan objektif kita, malah kerana takut ia menandakan kekalahan pembangkang.
“Bagaimanapun, mereka yang membaca MoU itu akan tahu bahawa ini sama sekali tidak benar,” katanya.
“Inilah sebabnya mengapa salah satu syarat MoU adalah keterdedahan penuhnya, mengikut prinsip ketelusan dan akauntabiliti.”
Lim juga menyebut pembaharuan, seperti undang-undang antilompat parti dan peruntukan sama rata bagi Ahli Parlimen pembangkang, untuk menunjukkan persepakatan yang dicapai dengan kerajaan berasas.
“Lima puluh tahun yang lalu, saya pertama kali membangkitkan di Parlimen tentang perlunya undang-undang antilompat parti. Kini, ada kemungkinan ia akan dimasukkan ke dalam statut.
“Juga selama lebih 50 tahun, DAP menyokong peruntukan sama rata bagi semua Ahli Parlimen, baik daripada kerajaan mahupun pembangkang. Kini, ia akan menjadi realiti,” katanya.
Lim menyimpulkan bahawa pada akhirnya, kemenangan dalam PRU15 bergantung kepada siapa yang mempunyai visi masa depan yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia.