JANGAN BUAT BODO YA- IBUBAPA NAK KEPASTIAN SOAL ANAK ANAK KE SEKOLAH - Zaid gesa Radzi beri penjelasan isu mansuh UPSR, vaksin, pengambilan guru .

 MGF_ZaidIbrahim07-1


By Manzaidi Mohd Amin - 21 July 2021


KUALA LUMPUR – “Apabila saya tegur dan kritik, sepatutnya Menteri Pendidikan jawab, bukan guna cybertrooper untuk menyerang saya,” kata bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim.

Katanya, beliau ada menegur Senator Datuk Radzi Jidin supaya nyatakan apakah silibus baharu bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dimansuhkan mulai tahun ini.

Selain itu, beliau juga mempersoalkan kenapa lembab sangat untuk vaksinasikan guru, kakitangan sekolah dan pelajar supaya mereka mempunyai imun dan dapat belajar secara bersemuka.

Zaid juga turut bertanya 150,000 komputer riba yang dijanjikan setahun lalu, tetapi belum diedar kepada keluarga yang memerlukan.

“Saya ada kritik dan tegurnya pasal beberapa isu yang dianggap gagal ditangani Menteri Pelajaran itu, tetapi reaksi dari pejabatnya dan penyokong siber beliau ke atas saya agak panas.

“Malah, Faisal Ismail Aziz dan kawan-kawannya mempersoalkan saya, katanya seorang bekas Menteri yang tidak melakukan apa-apa pun.

“Serangan peribadi terhadap saya tidak menguntungkan Radzi. Saya bukan nak bertanding di Ketereh ataupun di Putrajaya. Saya hanya mengemukakan pertanyaan orang ramai. Jalan paling baik ialah memberi penjelasan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu, beliau tidak mahu menteri yang ada pangkat tinggi dalam parti, tetapi tidak mampu menjalankan tugas dengan baik dan mengapa guru tidak dapat vaksin sepenuhnya?

Bukankah, ujarnya, guru dan kakitangan sekolah perlu divaksin sepenuhnya secepat mungkin supaya pelajar dan murid dapat kembali ke sekolah?

“Mengapa janji hendak membuka sekolah secara berperingkat? Adakah kerana hendak menutup kelemahan perancangan?

“Kita tahu, soal pembelajaran melalui internet telah menyusahkan anak-anak dan ibu bapa, tetapi Menteri belum ada penyelesaiannya dan cara terbaik ialah buka sekolah supaya pelajar dapat bersemuka dengan guru,” katanya.

Mengenai UPSR, kata Zaid, memang mudah bagi menteri untuk membuat keputusan memansuhkan peperiksaan itu, tetapi apa gantinya dan siapakah yang akan membuat keputusan di mana dan kelas mana anak-anak akan ditempatkan di sekolah menengah nanti.

Untuk masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pun perlu jalani ujian dan peperiksaan untuk menentukan kebolehan pelajar yang memohon, tetapi hendak masuk sekolah biasa tidak perlu kepada ujian.

Di negara lain, mereka tetap ada ujian atau checkpoint untuk pastikan pelajar dapat dimasukkan ke kelas yang sesuai dan secocok dengan kebolehan masing-masing.

“Tetapi di Malaysia, hanya Menteri Pelajaran yang tahu cara penyelesaiannya. Orang lain dan pegawai kanan tidak perlu tahu.

“Malah, bulan Julai akan berakhir tidak lama lagi, selepas itu kira-kira 19,000 guru dan ahli akademik baharu dari projek luar biasa akan diserapkan ke jawatan sebagai pendidik.

“Mereka ini direkrut sebagai pendidik dan guru tanpa mempunyai apa-apa pengalaman atau pengetahuan dalam hal pendidikan. Inilah kebolehan luar biasa Menteri Pelajaran kita,” sindir beliau.

Zaid menjelaskan, di negara lain hendak menjadi guru dan pendidik mesti menjalani kursus serta kelayakan yang mantap dan kemas, bahkan, pengalaman perlu ada dan ilmu yang sesuai mesti ada untuk pelajar mendapat manfaat.