Pemerkasa PLUS: Kerajaan perlu beri fokus golongan M40 selain B40

 

Fareez Azman
Pemerkasa PLUS: Kerajaan perlu beri fokus golongan M40 selain B40
Pengasas Gig X Global, Shareen Shariza Abdul Ghani berkata ramai golongan M40 yang hilang pekerjaan kini berubah menjadi penghantar makanan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi fokus kepada golongan M40 yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan bermula Selasa.
Menurut Pengasas Gig X Global, Shareen Shariza Abdul Ghani, pengumuman insentif kepada golongan itu dilihat terkecuali daripada mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.
Kalau kita tengok memang tidak cukup tetapi untuk golongan B40 ada bantuan dari segi jangka masa pendek tapi pelaksanaannya kena cepat, saya rasa ada jurang terhadap golongan M40 yang mana mereka ini mempunyai skil yang tinggi.
"Tetapi golongan ini juga terkesan contohnya sektor penerbangan seperti juruterbang, jurutera mereka tidak boleh bekerja tetapi mereka bukan dalam golongan B40 tetapi tetap terkesan.
"Saya rasa kebanyakan insentif dilaksanakan kerajaan fokus B40 bagus, tetapi kena tengok M40 terkesan (agak ramai), banyak yang mencari peluang yang lain sebab industri tidak berkembang jadi mereka tidak bekerja," katanya ketika ditemubual Astro AWANI pada Selasa.
Bagaimanapun jelas Shareen, selain bantuan khas daripada kerajaan, golongan itu juga perlu lebih agresif dalam mencari pendapatan menerusi gig ekonomi.
Malah peluang meningkatkan kemahiran menerusi latihan secara percuma yang disediakan kerajaan dan pihak swasta perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh setiap individu bergiat dalam gig ekonomi.
"Saya rasa banyak diumumkan oleh kerajaan dan sektor swasta untuk meningkatkan lagi tahap kemahiran, jadi program banyak di situ yang mana saya rasa perlu dipertingkatkan iaitu latihan percuma.
"Bagaimanapun tak boleh secara rambang, kita kena ada latihan secara bersasar untuk pastikan kemahiran yang kita dapat itu bukan kemahiran asas, tetapi mempunyai pasaran dan permintaan tinggi," katanya lagi.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa) PLUS pada Isnin mengumumkan beberapa insentif kepada golongan B40 untuk menghadapi PKP 3.0.
Ia termasuk bantuan moratorium selama tiga bulan secara automatik atau pengurangan bayaran balik ansuran pinjaman sehingga 50 peratus selama enam bulan.

No comments: