PETALING JAYA: Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) terus mencuri perhatian apabila ia mendapat bantahan dari Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dari PKR.
Beliua kini sedang mendesak Putrajaya dan Pulau Pinang untuk membatalkan projek tiga pulau buatan tersebut dan sebaliknya memfokuskan usaha mengekang penularan wabak Covid-19, melindungi alam sekitar dan ekosistem serta sumber pendapatan nelayan Pulau Pinang.
Beliau berkata, dia, bapanya, ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, dan rakan parti lain pada mulanya menyokong projek itu tetapi mula bimbang apabila Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang itu turut termasuk pembinaan jalan raya mega, LRT, monorel, Skycab dan membabitkan penambakan tanah.
Katanya jelas, PSR lebih memfokus kepada keuntungan dan penjualan hartanah spekulatif, sekali gus mengenepikan kepentingan alam sekitar dan ekosistem yang seimbang.
“Kita perlu mengkaji semula PSR dengan meletakkan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan kita. Kerugian dan risiko projek ini adalah jauh lebih besar dari keuntungan yang mungkin diraih negeri dan rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri boleh saja membangunkan wilayah pedalaman yang ada daripada memutuskan untuk menambak semula sekitar 4,500 ekar pulau buatan manusia.
“Penambakan pantai akan memaksa nelayan untuk keluar lebih jauh untuk mendapatkan hasil tangkapan mereka. Kos bahan bakar akan lebih tinggi sementara lebih banyak masa akan dihabiskan. Selain itu, nelayan berdepan risiko fizikal yang lebih tinggi, serta risiko kerosakan kapal dan jaring mereka.
“Walaupun akan ada bayaran pampasan untuk nelayan yang terkesan, jumlah bayaran dan langkah-langkah mitigasinya adalah tidak memadai,” katanya.
Beliau mendesak kementerian alam sekitar untuk membatalkan persetujuan awal yang diberikan oleh jabatan alam sekitar dan bekerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang untuk menguruskan pemulihan sosio-ekonomi rakyat dengan lebih baik.
Pada Mac lalu, kerajaan Pulau Pinang akan membenarkan SRS Consortium menjalankan kerja tambakan untuk salah satu daripada tiga pulau yang dicadangkan. Syarikat itu akan membayar RM3.8 bilion untuk menambak semula separuh daripada Pulau A sebagai sebahagian daripada perjanjian 30:70, dengan bahagian terbesar akan dipegang oleh SRS.
Sebaik wujud permintaan, SRS akan meneruskan kerja tambakan untuk sebahagian lagi Pulau A.
Penambakan itu akan dilakukan oleh Gamuda Engineering, yang telah diberi hak untuk “memperlambat” atau “meningkatkan” penambakan ketika permintaan untuk tanah turun atau meningkat dari semasa ke semasa.
Kerajaan negeri telah memberi jaminan bahawa tanah tersebut akan tetap menjadi milik kerajaan setelah ia selesai.