Tak boleh paksa penjawat awam potong elaun, kata Ahli Parlimen Kapar


Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, kerajaan tidak boleh membuat pemotongan elaun selama tiga bulan pada satu kadar kerana tanggungan bagi penjawat awam berbeza.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, penjawat awam tidak boleh dipaksa memotong elaun untuk disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana, sebaliknya ia perlu dibuat secara sukarela mengikut kemampuan masing-masing.

Beliau yang juga jurucakap pekerjaan dan hak pekerja Parlimen PKR berkata, kos sara hidup tidak menentu ketika penularan Covid-19 tidak menjamin gaji penjawat awam mencukupi.

“Gaji penjawat awam bagi Gred 29 hingga 56 tidak perlu ditetapkan kadar sebegitu, seolah-olah mereka dipaksa menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana.

“Kerajaan tidak boleh membuat pemotongan pada satu kadar kerana tanggungan bagi penjawat ini berbeza,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut mencadangkan peserta industri perkilangan yang dibenarkan beroperasi ketika tempoh perintah kawalan pergerakan penuh dipelawa menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali mengumumkan penjawat awam Gred 29 hingga 56 akan menyerahkan sebahagian elaun mereka selama tiga bulan sebagai manifestasi solidariti terhadap tindakan menteri dan timbalan menteri tidak mengambil gaji selama tiga bulan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

Beliau berkata, sumbangan lebih 800,000 penjawat awam daripada Imbuhan Tetap Kerajaan (ITK) bagi pengurusan tertinggi Gred 44 hingga 56 serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga 41 yang dianggarkan berjumlah RM30 juta itu akan disalurkan kepada Akaun Amanah Bencana.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berharap semua pihak tidak menjadikan inisiatif kebersamaan penjawat awam itu sebagai isu untuk menyerang kerajaan atau mencetuskan perbalahan.

“Cuepacs menyeru semua pihak terus bersama rakyat dan kerajaan dalam memastikan usaha mengekang penularan Covid-19 dapat dijayakan dalam tempoh pelaksanaan PKP penuh ini.

“Kebersamaan setiap masyarakat merupakan kunci utama dalam kejayaan kita melandaikan lekuk jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

No comments: