TAK CUKUP GAJI, ELAUNS MENTERI JUGA PERLU DISERAHKAN....DUIT KAKITANGAN AWAM PUN NAK SAPU....KERAJAAN PALING TERUK ABAD INI

 

Bukan hanya gaji, menteri patut serah elaun dan imbuhan, kata Tok Mat



Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata kepimpinan melalui teladan dalam saat krisis genting ini adalah kewajipan yang sepatutnya sudah lama dipamerkan.

PETALING JAYA: Keputusan Jemaah Menteri tidak mengambil gaji selama tiga bulan harus termasuk pelbagai elaun dan imbuhan keraian yang biasanya lebih tinggi mengatasi gaji menteri, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, kepimpinan melalui teladan dalam saat krisis genting ini adalah kewajipan yang sepatutnya sudah lama dipamerkan.

“Keputusan Jemaah Menteri untuk tidak mengambil gaji bagi tempoh tiga bulan disambut baik. Namun, ia janganlah sekadar gaji.

“Ia mesti termasuk pelbagai elaun dan imbuhan keraian yang selalunya lebih banyak dan tinggi, mengatasi gaji menteri,” katanya dalam kenyataan.

Mengenai peruntukan Bantuan Prihatin Rakyat bernilai RM2.1 bilion, Mohamad berkata, pengumuman itu sangat bertepatan dengan keadaan semasa, namun mencadangkan strategi penyaluran diperbaiki dengan memastikan golongan paling terjejas menerima bantuan lebih banyak.

“Ekuiti dalam pengagihan bukan bermakna semua mendapat bantuan yang saksama. Mereka yang memerlukan lebih wajar menerima lebih banyak dan yang kurang terjejas, menerima sekadarnya,” katanya.

Ketika mengumumkan bantuan khas PKP 3.0 semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, berkata bayaran BPR tambahan itu akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung Jun nanti.

Bagi kategori isi rumah berpendapatan bawah RM2,500 mendapat BPR tambahan RM500 manakala isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 akan menerima RM300 sementara golongan bujang akan menerima BPR RM100.

Menyifatkan pengumuman pakej bantuan Pemerkasa Tambahan adalah langkah yang sangat diperlukan ketika ini, beliau berkata, mengambil kira kekangan fiskal kerajaan ketika ini, amat penting setiap sen peruntukan untuk meningkatkan kapasiti sektor kesihatan awam dimanfaatkan dengan telus dan mendatangkan impak sebaiknya.

“Kita tidak mahu pelaksanaannya nanti terjadi ketirisan, ketidakcekapan sistem serta pembaziran. Peruntukan yang banyak mesti mendatangkan impak berganda.

“Kita mesti mengambil pengajaran dari pembangunan sistem pendaftaran vaksinasi, yang walaupun besar tetapi tidak berfungsi dengan baik dan menimbulkan kesusahan kepada rakyat,” katanya sambil menyeru kerajaan pusat segera menyalurkan insentif Pemerkasa Tambahan dengan telus, amanah dan cekap.

Pemerkasa Tambahan bernilai RM40 bilion itu khusus untuk membantu rakyat dan perniagaan menghadapi sekatan penuh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Dalam perutusan khas disiarkan secara langsung di televisyen, Muhyiddin berkata pakej bantuan pemerkasaan itu termasuk suntikan fiskal kerajaan berjumlah RM5 bilion.