Moratorium: Kerajaan ada kuasa batal keputusan BNM – Asyraf

 

MGF30032021_FORUM-DEMOKRASI51


By

 Wartawan MalaysiaGazette

 -

 2 June 2021


Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO kecewa dengan alasan mudah Menteri Kewangan kononnya kerajaan tidak boleh mengarah institusi perbankan di negara ini untuk memberikan moratorium automatik kerana kerajaan tidak memiliki bank atau menteri pula tiada kuasa mengarahkan bank-bank.

Sedangkan Seksyen 72 dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 (Akta 701) secara jelas memberikan peruntukan kuasa kepada Jemaah Menteri (Kerajaan) untuk ‘overrule’ (mengatasi) atau membatalkan sebarang keputusan yang dibuat Bank Negara Malaysia (BNM), manakala BNM sebagai pelaksana dasar perlu patuh kepada sebarang arahan menteri bertanggungjawab.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, Seksyen 6 dan 7 dalam Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) juga memberikan peruntukan kuasa yang jelas untuk Menteri Kewangan mengarahkan BNM berkenaan dasar-dasar yang berkaitan dalam kewangan dan perbankan.

Malah, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memberikan kerajaan kuasa penuh untuk mengadakan sebarang peraturan baharu mahupun mengatasi (overule) sebarang undang-undang bertulis sedia ada demi mencapai matlamat Proklamasi Darurat.

Kata beliau, tiga kuasa utama ini memberi peruntukan besar untuk kerajaan melalui Menteri Kewangan untuk mengarahkan bank-bank menawarkan moratorium automatik.

Hakikatnya, tanpa Ordinan Darurat pun, dua undang-undang sedia ada memperuntukkan kuasa Menteri Kewangan yang amat besar hingga boleh mengarahkan mahupun mengatasi sebarang keputusan BNM apatah lagi bank-bank komersil, tambah Asyraf yang cukup berpengalaman dalam polisi-polisi kewangan Islam.

”Selain kuasa yang diperuntukan oleh undang-undang bertulis, kerajaan juga boleh menggunakan kuasa melalui pegangan saham yang dimiliki dalam bank-bank utama melalui GLC/GLIC.

”Contohnya: Tabung Haji, KWSP, PNB dan KWAP memiliki 82% pegangan saham dalam Bank Islam. Khazanah Nasional pula memiliki 30% dalam Bank Muamalat. PNB, KWSP dan KWAP memiliki 62% dalam Maybank dan 62.1% CIMB Bank,” terang Asyraf.

Justeru, Pemuda UMNO menyarankan kerajaan memanfaatkan sepenuhnya kuasa yang ada sebagaimana yang dinyatakan untuk mengarahkan bank-bank yang ternyata mencatat keuntungan mencecah berbilion ringgit hanya pada suku tahun pertama 2021 sahaja, untuk menawarkan moratorium secara automatik kepada rakyat tanpa caj atau faedah tambahan selama tiga bulan dan tidak terhad kepada hanya golongan B40, ujar beliau.

No comments: