Pertengkaran panas antara menteri tercetus selepas MITI benar 95,000 syarikat beroperasi


Kebanyakan menteri bersetuju dengan pelaksanaan penutupan penuh tetapi kecewa apabila 95,000 syarikat diberikan kebenaran beroperasi.

PETALING JAYA: Pertengkaran panas melibatkan beberapa menteri tercetus baru-baru ini berhubung tindakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan kira-kira 95,000 syarikat beroperasi walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, menurut sumber.

Menurut sumber, pertelingkahan tercetus awal minggu ini apabila sejumlah menteri tidak berpuas hati kerana begitu banyak syarikat dibenarkan beroperasi walaupun persetujuan dicapai sebelum ini untuk melaksanakan “total lockdown” atau sekatan penuh.

“Sebelum ini, kebanyakan menteri bersetuju dengan pelaksanaan sekatan penuh tetapi berita 95,000 syarikat mendapat persetujuan MITI untuk beroperasi menimbulkan bantahan, dan pertengkaran tercetus,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata, ramai menteri bimbang tanpa “lockdown” penuh, pandemik Covid-19 tidak akan dibendung dan penguatkuasaan SOP akan menjadi lebih mencabar.

“Namun, kebimbangan utama adalah kebenaran diberikan untuk begitu banyak kilang meneruskan operasi walaupun hakikatnya, kilang-kilang ini adalah ‘titik panas’ untuk jangkitan Covid-19,” kata sumber itu.

Seorang lagi sumber mengaitkan pertelingkahan itu kepada muat naik terbaharu Menteri Umno, Ismail Sabri Yaakob di Facebook yang menjadi perbualan hangat di media sosial, sekali gus menimbulkan pelbagai tanda tanya.

“Saya dah tutup pintu depan tapi…,” kata Ismail, yang menutup catatan itu dengan emoticon menangis.

Catatan itu turut melampirkan gambar beliau, dengan pelitup muka, menutup pintu pejabat Menteri Pertahanan.

Kelonggaran diberikan MITI kepada pelbagai sektor untuk beroperasi semasa PKP3.0 dikritik pelbagai pihak di media sosial dan ahli politik, dengan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak harus merujuk sekatan sekarang sebagai “total lockdown.”

No comments: