MELANTIK TENGKU ZAFRUL TERBUKTI SUATU KESILAPAN, TIDAK BELA RAKYAT DAN TIDAK BANTU MAHIADDIN

 

Walaupun tiada kepastian tentang bagaimana Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz boleh dilantik sebagai Menteri Kewangan, hakikat yang jelas sekarang ialah beliau diilihat langsung tidak bermanfaat kepada rakyat, terutama golongan miskin dan marhaen.

Bersama kejanggalan dalam hujah dan pendiriannya sebelum ini yang menolak setiap kali timbul tuntutan tentang moratorium, hujah terbarunya semalam berkaitan perkara itu amat tidak boleh diterima oleh akal yang waras.

Sandaran hujahnya bahawa kerajaan tidak dapat melaksanakan moratorium penuh secara automatik kepada semua golongan, termasuk M40, adalah kerana dakwanya kerajaan tidak mengawal bank dan tidak memiliki bank-bank tersebut.

Bagi rakyat yang berakal, hujah beliau itu sama sekali tidak boleh diterima kerana realitinya kerajaanlah yang paling berkuasa mengatur perjalanan semua urusan di dalam sesebuah negara.

Dalam hal berkaitan bank misalnya, itulah gunanya ada Bank Negara serta Kementerian Kewangan dan begitulah seterusnya berkaitan urusan-urusan yang lain.

Sebab itu, setiap kali pilihanraya, semua parti dan pemimpin meminta sokongan agar diberikan kuasa sebagai kerajaan bagi membolehkan mereka dapat membantu rakyat dengan lebih berkesan melalui pelbagai kuasa yang ada dalam bidang kuasa kerajaan.

Jika hujah Tengku Zafrul itu mahu diterima, maka apa guna ada kerajaan dan apa guna juga pilihanraya diadakan?

Selain itu, jika sewaktu PKP 1.0 dahulu kerajaan boleh mengarahkan pemberian moratorium penuh secara automatik kepada semua peminjam, kenapa sekarang ia tiba-tiba tidak boleh dilakukan?

Adakah pada waktu PKP 1.0 itu bank-bank dipunyai oleh kerajaan?

Dengan berjawatan sebagai Menteri Kewangan dan cakapnya asyik mempertahankan bank, Tengku Zafrul dengan sendirinya telah memperlekehkan rakyat yang mana melalui cukai dan titik peluh mereka itulah telah digunakan untuk membayar gaji dan kemudahan hidupnya setiap bulan.

Sedarkah beliau tentang hakikat itu?

Yang nyata di sini, inilah keburukan paling menonjol apabila bekas CEO bank dan bukan wakil rakyat dijadikan sebagai Menteri Kewangan.

Beliau langsung tidak faham susah derita rakyat, bahkan mungkin tidak pernah pun memijakkan kakinya ke rumah golongan B40, orang miskin dan marhaen untuk merasai denyut nadi kehidupan mereka yang mana jika sebagai wakil rakyat atau Ahli Parlimen, beliau pasti biasa melalui perkara tersebut.

Entah daripada mana dan bagaimana beliau boleh dipilih sebagai Menteri Kewangan, keberadaannya di jawatannya itu, selain tidak memahami derita rakyat, juga dilihat tidak membantu Perdana Menteri dan PN sebagai kerajaan.

Sebagai Menteri Kewangan, beliau sepatutnya adalah tangan kanan kepada Mahiaddin dalam memudah dan memperbanyak urusan bantuan dan pertolongan, bukan menyusah dan menyulitkan lagi rakyat dengan kecenderungan yang ketara memihak kepada institusi pengaut keuntungan.

Meski Mahiaddin Md Yasin pun dirasakan tidak mampu bertahan lebih lama lagi sebagai Perdana Menteri, tetapi dengan adanya Tengku Zafrul dalam kerajaan yang kerjanya lebih banyak membela bank daripada membela rakyat ini, beliau pasti akan lebih ditolak lagi bersama masa yang berbaki ini.

Di sisi rakyat, PN ini bukan setakat gagal sebagai kerajaan, malah tidak berfungsi sama sekali dalam memberi kesejahteraan dan keselesaan kepada mereka.

Tidak mustahil sekarang, terutama setelah banyak pihak dalam Bersatu sendiri mula tidak senang dan mengecam keberadaan beliau dalam kerajaan, Mahiaddin sendiri mula terdetik dalam hati kecilnya rasa menyesal melantik Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan.

Begitu pun, jika Mahiaddin masih ada keinginan untuk memperbaiki sedikit kerajaan pimpinannya dalam waktu-waktu kecederaan yang masih bersisa ini, menggugurkan Tengku Zafrul dan menukarnya dengan mana-mana wakil rakyat adalah pilihan yang tidak boleh lagi untuk dielak.

Mengekalkan lagi beliau, selain memberi ruang untuk kerajaan PN ini lebih ditolak dan bakal dihumban itu sudah hampir pasti, cemuhan dan kehinaan juga akan terlakar sama dalam lipatan sejarah bersama tumbangnya sebuah kerajaan khianat yang tidak pernah diundi serta diiktiraf rakyat. 


(ShahbudinHusin 02/06/2021)


No comments: