Penutupan pasar malam di KK, pendapatan peniaga kembali terjejas

 

Pasar malam pantai Tanjung Aru 1 melaksanakan SOP ketat bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

KOTA KINABALU: Peniaga pasar malam di sekitar bandar raya ini berharap pihak berkuasa, terutama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) membenarkan mereka beroperasi semula dalam tempoh terdekat.

Seorang peniaga di pasar malam Sinsuran, di sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Ema, 26, berkata, penutupan pasar malam bermula Sabtu lalu, sekali lagi menjejaskan pendapatannya yang hanya bergantung kepada hasil jualan harian.

Katanya, penutupan secara tiba-tiba tanpa notis awal juga menyebabkan ramai peniaga mengalami kerugian terutama mereka yang menjual barangan mentah seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran.

“Kami baru saja berniaga semula bulan lalu dan tidak sampai dua bulan pasar malam tutup lagi, memang sukar bagi saya kerana mata pencarian memang sepenuh masa di sana (pasar malam Sinsuran).

“Notis yang dikeluarkan DBKK juga secara mengejut, kami mengalami kerugian kerana stok bahan mentah yang berlambak. Sekarang kami mahu menjualnya di mana?

Peniaga yang menjual barangan mentah mengalami kerugian kerana penutupan pasar dibuat secara mengejut tanpa notis lebih awal.

“Bukan saya sahaja yang hilang pendapatan akibat pasar malam ini ditutup, ramai lagi. Duit belanja pun terjejas teruk, tidak lama lagi pula Hari Raya (Aidilfitri),” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penjaja Pasar Malam Pantai Tanjung Aru 1, Dahlan Jasri berkata, beliau akur dengan keputusan yang dibuat kerajaan dan DBKK, namun berharap mereka akan kembali dibenarkan beroperasi dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, pasar malam pantai Tanjung Aru 1 adalah antara pasar yang sangat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa dan tidak mempunyai masalah sekiranya mereka dibenarkan beroperasi semula.

“SOP di sini (pasar malam pantai Tanjung Aru 1) sangat ketat dan kita juga sentiasa dibantu pihak DBKK, Rela dan juga polis.

“Kami memohon dan berharap agar pasar malam di Tanjung Aru ini kembali dibenarkan beroperasi dalam tempoh terdekat ini.

“Bukan mahu memberi tekanan kepada pihak berkaitan atau kerajaan, tetapi itulah yang kita harapkan,” katanya.

Baru-baru ini, satu notis pemakluman dikeluarkan DBKK berhubung penutupan sementara operasi pasar malam, pasar mingguan dan tamu di kawasan bandar raya Kota Kinabalu.

Arahan itu dikeluarkan berikutan kenaikan mendadak kes Covid-19 di bandar raya itu dan penutupan pasar malam, pasar mingguan serta tamu selama dua minggu itu bergantung kepada statistik kes Covid-19 dari semasa ke semasa.




No comments: