BENCI NAJIB DAN BENCI ANWAR, MAHATHIR AKAN BERTANDING ATAS TIKET BERSATU – ZAID IBRAHIM

 

Itulah yang diperkatakan oleh Dr. Mahathir semalam. Kemarahan dan kebencian Dr. M terhadap Najib adalah total dan tidak kehabisan.

Saya kira kalaulah ada barometer yang boleh menjadi pengukur kebencian Dr. M terhadap Najib, ia akan menunjukkan tahap yang sama dengan kebencian Dr. M terhadap Anwar Ibrahim.

Dr M begitu marah dia akan bertanding sekali lagi GE15

Dari apa yang diketahui umum, kemarahan Dr. M terhadap Najib tidak ada kena mengena dengan 1MDB, sepertilah kebencian terhadap Anwar tidak ada kena mengena dengan sodomi.

Anwar enggan memberi laluan kepada Dr. M memerintah sampai akhir zaman dan mengkritik cara autokratik beliau, lalu menyiapkan diri itu mengambil alih pimpinan Umno. Itulah punca kemarahan Dr. M yang tidak berakhir terhadap Anwar.

Dr. M tidak pernah menghukum sesiapa pun termasuk dirinya sendiri kerana skandal kewangan.

Kebencian dan kemarahan Dr. M terhadap Najib berpunca dari Najib ingin menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri yang agak bebas dari arahan dan telunjuknya.

Ada pihak percaya usaha mencari dana untuk Umno yang tidak ada kaitan dengan Dr. M dan kawan-kawan Dr. M lah yang menjadi sebab utama penubuhan 1MDB.

Selagi Umno terpaksa bergantung dengan Dr. M dan rakan-rakan, selagi itulah Presiden Umno dan Perdana Menteri mesti tunduk kepada kehendaknya.


Walaupun usaha 1MDB menjadi satu skandal, ianya berjaya mencapai matlamatnya iaitu bebas dari kewangan Dr. M. Ini bermula kebencian terhadap Najib dan peperangan Dr. M -Najib sehingga hari ini.

Dr. M marah kepada Najib kerana Najib menolak permintaannya untuk dana yang besar untuk Proton. Proton telah merugikan rakyat ratusan juta tiap-tiap tahun sejak ianya dimulakan oleh Dr. M.

Bila Pak Lah cuba membuat kerjasama antara Proton dengan syarikat gergasi kereta dari Eropah supaya Proton hidup semula, dia ditekan oleh Dr. M supaya ianya tidak dilakukan.

Najib juga berusaha menjual Proton kepada kumpulan luar yang dapat menghidupkan semula Proton dan menghentikan kerugian besar, tetapi Dr. M tidak setuju. Itu punca kebencian kedua.

Jambatan Bengkok atau Crooked Bridge dengan Singapura adalah satu lagi “toy” Dr. M. Dia marah bila Pak Lah menghentikan pembinaan Crooked Bridge.

Lalu beliau mahu Najib teruskan idamannya itu. Najib juga menolak kerana pada masa itu Johor pun tidak setuju dengan pembaziran tersebut.

Saya percaya faktor Mukhriz tidak kekal menjadi Menteri Besar Kedah ketika Najib berkuasa di pusat juga salah satu punca kemarahan Che Det.

Saya bukan penganalisa politik, tetapi saya percaya banyak faktor yang menyebabkan Umno tewas GE14.

Najib seorang diri tidaklah boleh memikul beban dan menjadi punca Umno kalah. Umno tewas kerana ianya terlalu lama di bawah pengaruh Dr. M.

Umno tidak dapat berubah dan tidak dapat menerima perubahan dan cara berpolitik yang progresif dan sihat di bawah Dr M. Yang di dewa-dewakan ialah “Politik Machiavellian”, di mana kuasa mutlak diutamakan dan prinsip diketepikan.

Semua cara untuk mengekalkan kuasa dihalalkan kerana tidak ada moral dan integriti diperlukan.

Penyakit ini berleluasa di bawah parti baru Bersatu. Bersatu dan cara ianya bergerak secocok dengan cara Dr. M dulu.

Sebab itulah Bersatu akan menang besar dalam pilihan raya nanti jika pihak pembangkang tidak berstau kukoh.

Bersatu dan Kerajaan tidak ada beza hari ini dan kemudahan yang ada pada kerajaan ada lah kemudahan yang ada pada Bersatu, Ini resipi kejayaan.

Tetapi itu hanya akan berlaku bila ada pilihan raya umum nanti, yang setakat ini belum jelas akan diadakan di masa terdekat.

Yang menarik dalam GE15 ini ialah Dr. M akan bertanding lagi. Saya percaya dia akan bertanding di bawah Bersatu ataupun calon Bebas yang ditaja oleh Bersatu.

Bersatu adalah parti ciptaan Dr. M, maka ke situlah dia akan berpijak untuk meneruskan kemarahan dan kebenciannya terhadap Anwar dan Najib Razak.

ZAID IBRAHIM

Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.