Ketua Polis Negara dipuji kerana berani dedah isu kartel

 


Ketua Polis Negara dipuji kerana berani dedah isu kartel


1. PEJUANG Muda Malaysia ingin menzahirkan rasa sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bahador dalam usaha memerangi sebarang kepincangan dan kewujudan ‘kartel’ dalam pasukan Sang Saka Biru atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

2. Apa yang didedahkan oleh KPN dalam sidang media beliau pada Isnin (22 Mac 2021) dan beberapa siri program bual bicara sebelumnya, bukanlah satu perkara baru dan tidak juga mengejutkan. Tetapi, keberanian KPN dalam menyatakan iltizam secara terbuka bagi membersihkan salah laku dalam PDRM untuk tidak membenarkan budaya ‘The Blue Code of Silent’ dari terus subur dalam PDRM, perlu dipuji dan disokong sepenuhnya.

3. Dalam sebuah kerajaan yang tidak mementingkan integriti dan prinsip yang mulia seperti Perikatan Nasional (PN), PEJUANG Muda Malaysia menjangkakan bahawa usaha KPN bakal melalui laluan yang tidak mudah.

4. Oleh itu, sokongan ahli-ahli politik dan seluruh rakyat Malaysia untuk KPN meneruskan usaha beliau itu dalam pasukan PDRM adalah diperlukan supaya watak seperti Tan Sri Abdul Hamid Bahador tidak disingkirkan atau diketepikan sewenang-wenangnya apabila bangun bersuara.

5. Kami, PEJUANG Muda Malaysia ingin mengucapkan syabas kepada Tan Sri Abdul Hamid Bahador atas keberanian beliau dan berdoa kepada Allah SWT agar dimudahkan usaha murni yang dicita-citakan beliau serta diberikan perlindungan dalam usaha mengembalikan maruah PDRM yang dicemarkan oleh sebilangan kecil anggotanya.

Sekian. Terima kasih.

DR. ABU HAFIZ SALLEH HUDIN
Ketua PEJUANG Muda
Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG)

23 MAC 2021


No comments: