Pekerja asing dakwa ditindas Bestinet?

 

untitled image


POSTED BY AMIR WRLR

Sebuah video sedang tular di media sosial mendakwa syarikat Bestinet Sdn Bhd, yang dikatakan mempunyai kaitan dengan adik kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memperlakukan pekerja asing secara tidak wajar.

Dalam video tersebut, terpapar individu yang dipercayai merupakan pekerja warga Bangladesh yang dibawa masuk oleh syarikat tersebut dan beragama Islam merayu supaya dia dan rakan-rakan senegaranya mendapat pembelaan sewajarnya.

"Kami diminta membayar RM 15,000 jika ingin kerja di Malaysia. Bayaran yang tak patut dikenakan kerana kerajaan Malaysia tak pernah letakkan caj.

"Ada yang terpaksa berhutang, jual tanah untuk cari peluang, cari rezeki di Malaysia.

"Tak cukup itu, gaji bila kerja di Malaysia dipotong untuk bayar macam-macam caj yang kadang-kadang melampau.

"Duit untuk anak isteri memang tak pernah dapat beri. Nak makan untuk diri sendiri pun tak cukup. Terpaksa kerja tanpa rehat untuk cukupkan keperluan bulanan," dakwa individu dalam video itu.

Dakwanya lagi, di Bangladesh juga sedang berlaku protes ke atas tindakan syarikat berkenaan dan mereka meminta kerajaan Malaysia campur tangan.

Pada Ogos 2018 lalu Bestinet, syarikat yang membawa masuk pekerja asing, pernah digantung operasinya oleh Kementerian Sumber Manusia berikutan dakwaan mengeksploitasi pekerja warga Nepal.

Bagaimanapun pada Disember 2019, Menteri Sumber Manusia ketika itu, M. Kula Segaran berkata tuduhan tersebut tidak tepat.