KENYATAAN MEDIA - 19 Februari 2021
Saya terkesan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini terhadap laman berita #Malaysiakini atas sebab menghina mahkamah dan juga denda yang melampau tinggi yang dikenakan terhadapnya. Serbuan polis terhadap #Gerakbudaya dan tindakan merampas sebahagian dari komputer mereka adalah juga memprihatinkan.
Kebebasan bersuara adalah tiang seri dan elemen terpenting dalam mana-mana sistem masyarakat yang demokratik. Kesemua cabang pemerintah adalah bertanggungjawab dalam memelihara dan melindungi kebebasan bersuara sepertimana yang diperteguh di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Dalam perkara terkait penghinaan terhadap mahkamah dan subjudis, kita boleh bersetuju dengan sudut pandang Majlis Peguam bahawa mesti wujud keseimbangan antara pemeliharaan prinsip kebebasan bersuara dan penegakan hukum yang jelas.
Dalam masa yang sangat singkat Perikatan Nasional mengemudi negara, tampaknya terdapat serangan yang berterusan ke atas kebebasan bersuara dan kebebasan media, termasuk penyiasatan dan gangguan terhadap para wartawan, para pemuka masyarakat madani, ahli-ahli Parlimen dan kini badan-badan berita yang bebas.
Pemerintah yang kuat dan yang punyai keyakinan terkait keabsahan mereka tidak mungkin akan berkelakuan seperti ini. Apa yang kita dihadapkan hari ini adalah sikap sebuah kerajaan yang lemah yang sentiasa mencari jalan untuk mengelak dari masyarakat umum dan kebertanggungjawaban dalam bentuk Pengisytiharan Darurat, penggantungan Parlimen dan serangan yang berterusan terhadap media yang bebas.
Malaysiakini tidak dituduh kerana melaporkan berita palsu, tetapi mereka dihukum kerana komen-komen yang ditinggalkan oleh pengguna-pengguna internet yang tidak dikenali di laman berita mereka.
Taktik semacam ini pernah dilakukan oleh banyak kerajaan di seluruh dunia, dan ini adalah tanda-tanda bahawa Malaysia sedang bergerak pantas ke arah kediktatoran. Tindakan ini hanya akan merobek kepercayaan dan keyakinan dalam soal penegakan negara hukum di Malaysia dan akan menjauhkan lagi para pelabur asing dari negara ini.
Saya terharu dengan dukungan rakyat terhadap Malaysiakini saat ini. Majoriti rakyat Malaysia senantiasa komited dalam memperteguh dan mempertahankan prinsip-prinsip dan semangat Perlembagaan Persekutuan.
ANWAR IBRAHIM