Khianati undi rakyat suatu tindakan hina - Wanita KEADILAN Johor

 




POSTED BY AMIR WRLR.


Pengkhianatan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon hari ini adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.

Ketua Wanita KEADILAN Johor, Napsiah Khamis berkata, pengkhianatan kepada undi rakyat merupakan tindakan hina dan merosakkan nilai-nilai demokrasi di negara ini.

"Wanita KEADILAN Johor amat kecewa dengan tindakan Ahli Parlimen Tebrau yang juga merupakan Ketua Cabang Tebrau Steven Choong di atas tindakan beliau menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan keluar dari parti.

"Sikap beliau sangat tidak bertanggungjawab kepada amanah dan undi rakyat yang selama ini memilih KEADILAN sebagai parti menerajui Tebrau.

"Bertanding dan menang menggunakan logo dan lambang KEADILAN, dan rakyat juga memilih beliau disebabkan oleh lambang KEADILAN. Pengkhianatan kepada undi rakyat ini adalah satu perkara yang paling hina," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Napsiah, pengkhianatan menjadi satu di antara perbuatan tercela. Pengkhianatan juga menodai nilai-nilai kesetiaan, menyebabkan kerosakan dan kerugian kepada banyak pihak.

Justeru, beliau yang juga Exco Wanita KEADILAN Pusat meminta pengundi yang cintakan politik nilai menolak ahli politik tidak berprinsip seperti Steven dalam Pilihan Raya Umum ke 15 yang mungkin akan diadakan tidak lama lagi.

"Saya menyeru untuk semua pengundi supaya pada pilihan raya akan datang kita pastikan pemimpin dusta seperti ini ditewaskan," katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan kata-kata hikmat jeneral Soedirman di Indonesia suatu ketika dahulu untuk pedoman ahli-ahli KEADILAN: "Siapkan 10 peluru dalam senjata, 9 peluru untuk pengkhianat dan 1 sahaja untuk lawan, kerana pengkhianat adalah musuh terbesar".

 

No comments: