UNDI BELANJAWAN TAK SAMA DENGAN TUKAR KERAJAAN, BAGAIMANA JIKA UNDI MUHYIDDIN SENTIASA KURANG 111?

 


Semalam, Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan atau Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi dua kementerian melalui undi belah bahagi.

Dua kementerian terbabit ialah Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.

Bagi undian peringkat Jabatan Perdana Menteri, pihak kerajaan atau PN memperolehi 105 undi berbanding blok pembangkang 95 undi.

Untuk peringkat Kementerian Kewangan pula, pihak kerajaan memperolehi 107 undi, manakala blok pembangkang masih kekal dengan 95 undi.

Bermakna, sementara banyak lagi pengundian peringkat jawtankuasa akan berlangsung selepas ini, realiti yang harus diterima kalah PN telah menang 2-0 setakat ini.

Kelulusan di peringkat dua jawatankuasa tersebut tidak mustahil membuatkan PN akan memenangi kesemua pengundian belah bahagi selepas ini sebelum bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 dilakukan dan pengundian sekali lagi akan diadakan.

Kekurangan undi blok pembangkang adalah disebabkan ada beberapa Ahli Parlimen tidak hadir, selain lapan Ahli Parlimen Warisan memutuskan memulau pengundian kerana tidak setuju dengan Anwar Ibrahim berhubung perubahan pendirian di saat-saat akhir yang diputuskan beliau selaku Ketua Pembangkang sebelum pengundian peringkat dasar sebelum ini.

Tetapi, kekurangan undi pembangkang itu tidaklah penting berbanding undi yang diperolehi oleh kerajaan atau Muhyiddin.

Dalam pembangkang, khususnya berkaitan Anwar yang sebelum mempersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong bahawa beliau memiliki sokongan yang kukuh dan meyakinkan, kekurangan undi itu harus difahami bahawa undi belanjawan tidak sama dengan sokongan kepada beliau untuk menjadi Perdana Menteri.

Berkaitan undi belanjawan, UMNO dan BN telah memutuskan untuk menyokongnya kerana dua tuntutan yang mereka minta iaitu berkaitan KWSP dan moratorium telah pun dipenuhi kerajaan.

Ia berbeza dengan sokongan yang telah dinyatakan oleh Zahid Hamidi dan Najib Razak kepada Anwar untuk mengambil alih kerajaan yang mana sehingga ini surat yang ditandatangani kedua-dua mereka yang telah dibawa ke Istana Negara tidak pernah dinafikan sampai hari ini.

Bermakna, jika ada usaha lagi selepas ini untuk menjatuhkan Muhyiddin oleh Anwar atau tiba-tiba Agong memanggil semula ketua-ketua parti mengadap baginda kerana ia tertangguh berikutan Covid19 sebelum ini, kedudukan Perdana Menteri masih lagi tidak selamat.

Selagi surat itu tidak dinafikan, usaha menukar kerajaan melalui sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO masih lagi terbuka, walaupun mereka menyokong belanjawan diluluskan.

Menyokong belanjawan adalah berkaitan peruntukan pembangunan dan kebajikan untuk rakyat, manakala menjatuhkan Muhyiddin adalah demi masa depan sebelum terus dibuli dan ditelan oleh Bersatu.

Pengundian di peringkat dua jawatankuasa semalam dengan jelas memperlihatkan Muhyiddin hanya memperolehi paling tinggi sebanyak 107 undi saja.

Jumlah keseluruhan Ahli Parlimen ialah seramai 222 orang dan berdasarkan kedudukan itu, majoriti paling minimum ialah 112.

Begitu pun, oleh kerana dua Ahli Parlimen telah meninggal dunia – Batu Sapi dan Gerik – sepatutnya undi majoriti paling minimum yang diperolehi Muhyiddin adalah 111.

Tanpa jumlah tersebut, bermakna Muhyiddin memang tiada sokongan majoriti dan kerajaannya dianggap tidak sah.

Bagaimana jika semua pengundian peringkat jawatankuasa atau kementerian selepas ini, semuanya memperlihatkan tiada satu pun undi yang diperolehi mencecah 111?

Bolehkah Muhyiddin terus berbangga dengan keududukannya sebagai Perdana Menteri?

Sebab itu, strategi Anwar dan PH membiarkan pengundian diheret sehingga ke peringkat jawatankuasa dan bacaan kali ketiga adalah suatu keputusan yang bijaksana.

Ia akan memperlihatkan kepada dunia bahawa setiap hari ketika ada pengundian, majoriti yang dimiliki oleh Muhyiddin terdedah secara terbuka.

Undi yang diperolehi untuk menjatuhkan kerajaan tidak lagi menjadi persoalan pokok, tetapi yang utama ialah mengapa undi Muhyiddin sebagai kerajaan tidak pernah sampai kepada angka 111?

Akhirnya, apa moral yang tinggal pada PN dan Muhyiddin?

 

(Shahbudindotcom 01/12/2020)



No comments:

Jenama Umno Hebat Tapi Jurujual Tak Kuat

  DARI FB wall A Kadir Jasin... freemalaysiatoday.com Kumpulan mesra PPBM dalam Umno mahu singkir Zahid? Beberapa ‘tokoh besar’ dikatakan be...