Belanjawan 2021: Kenapa kelirukan dewan, moratorium, KWSP hanya keputusan kabinet



Moratorium pinjaman selama 6 bulan dan pengeluaran RM10,000 Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak sewajarnya diumumkan sebagai perkara utama dalam sesi penggulungan Belanjawan 2021 pada 26 November lalu.

Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz sengaja mahu mengelirukan anggota Parlimen apabila membesar-besarkan polisi berkenaan.

Sedangkan, katanya, belanjawan harus membentangkan perbelanjaan kerajaan sahaja, bukannya polisi KWSP atau moratorium bank-bank swasta.

Sebelum ini pun dalam pakej ekonomi melawan pandemik Covid 19, menurut Azan, moratorium dilaksanakan melalui keputusan kabinet dan tidak dimasukkan dalam belanjawan tambahan yang diluluskan di Dewan Rakyat, begitulah juga KWSP.

"KWSP itu duit simpanan rakyat Malaysia yang mencarum. Soal pengeluaran tidak ada kena mengena dengan perbelanjaan kerajaan dan kerajaan 'tebuk atap' tak ada sumbang satu sen pun untuk pencarum.

"Begitu juga soal moratorium. Walaupun ditambah dari 6 bulan sehingga setahun pun ia tidak menjejaskan apa-apa buat rakyat, yang kena bayar rakyat juga dan bukannya pihak kerajaan.

"Tetapi kedua-dua ini seolah-olah menjadi tumpuan kerajaan kononnya tumpu meringankan bebanan rakyat, sedangkan keputusan yang dibuat Menteri Kewangan itu tidak ada kena mengena dengan belanjawan pun.

"Kerajaan PN main 'silap mata' dengan rakyat untuk mendapat sokongan supaya belanjawan diluluskan sahaja," katanya ketika dihubungi.

Silap mata Tengku Zafrul pada 26 November lalu berjaya mengurangkan Ahli-ahli Parlimen yang tidak berpuas hati terhadap pentadbiran Perdana Menteri Muhyididn Yassin.

Banyak pihak menjangkakan sekiranya dua tuntutan Ketua Backbenchers BN, Najib Razak berkenaan moratorium dan pengeluaran RM10,000 Akaun 1 KWSP tidak dilayan maka Ahi Parlimen Umno akan menumbangkan Muhyiddin dalam Undi Belah Bahagi pada peringkat kelulusan dasar.