KALI NI SAYA BOLEH BERSETUJU DGN KHALID SAMAD, BUT TELL THIS TO OREN MASAM....


AMANAH KUKUH BERSAMA PH


Image may contain: 1 person, glasses and beard

1. Parti Amanah Negara (AMANAH) menyedari wujudnya kekeliruan di kalangan masyarakat umum dan juga ahli-ahlinya berhubung dengan apa yang telah berlaku di Dewan Rakyat semasa pengundian Belanjawan di peringkat dasar dijalankan. Kelihatan seolah-olah ada perbezaan dan perbalahan di antara pimpinan AMANAH apabila sebahagian duduk dan sebahagian yang lain bangun meminta undi belah bahagi dilakukan.

2. Keadaan yang mengelirukan terhasil apabila keputusan berubah di saat terakhir tanpa perbincangan dan penjelasan kepada semua Ahli Parlimen PH. Ini menyebabkan sebahagian Ahli Parlimen AMANAH terus berpegang kepada keputusan asal, yang dianggap keputusan yang rasmi memandangkan ianya telah dibahas dan diputuskan bersama dalam mesyuarat Majlis Presiden. Pada masa yang sama sebahagian yang lain berpegang kepada keputusan baharu seperti yang dicadangkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

3. Sebahagian pimpinan, seramai 5 orang termasuk Presiden dan Timbalan Presiden, berpegang kepada keputusan baharu kerana ingin menjamin keutuhan dan kesatuan PH. Pimpinan Nasional AMANAH sentiasa menegaskan bahawa keutuhan dan kesatuan Pakatan Harapan adalah sesuatu yang amat penting untuk diusaha dan dipertahankan setiap pemimpin. Oleh itu, keputusan untuk menjamin keutuhan dan kesatuan Pakatan Harapan dengan akur kepada keputusan Pengerusi PH pada hari tersebut adalah selari dengan kehendak parti.

4. Pada masa yang sama, sebahagian pimpinan lain, ia itu seramai 6 Ahli Parlimen, yang bangun meminta belah bahagi juga turut berusaha memenuhi kehendak parti AMANAH dan keputusan Majlis Presiden PH. Sepertimana yang diketahui, pengundian ke atas belanjawan begitu ditunggu-tunggukan seluruh rakyat dan AMANAH telah berjanji untuk melakukannya sehingga ke tahap belah bahagi. Oleh itu tindakan sebahagian pimpinan ini turut dilihat betul juga dan selari dengan aspirasi pimpinan dan ahli AMANAH.

5. Pada hakikatnya semua pimpinan AMANAH menolak belanjawan yang telah dibentangkan. Perbezaannya adalah samada melakukan belah-bahagi atau tidak. Dan perbezaan ini hanya timbul pada saat terakhir hasil cadangan Pengerusi PH.

6. Oleh itu boleh dirumuskan bahawa tidak wujud perbezaan atau perpecahan di kalangan pimpinan AMANAH. Situasi yang mencabar ini boleh digambarkan melalui pepatah Melayu “ditelan mati emak, diluah mati bapa” telah menghasilkan tindakan berbeza yang pada hakikatnya kedua-duanya betul. Kita tidak berpeluang untuk berbincang dan berbahas untuk menentukan mana satu di antara dua pilihan betul ini adalah yang lebih betul. Namun kita yakin kedua-dua kumpulan telah bertindak mengikut pertimbang mereka masing-masing dengan mengharapkan yang terbaik bagi AMANAH dan PH.

7. AMANAH memahami ramai kecewa dengan apa yang telah berlaku. Namun kekecewaan ini akan menjadi lebih parah sekiranya ianya menggugat kesatuan dan perpaduan dalam AMANAH serta antara AMANAH dan PH. Ianya sewajarnya dijadikan sebagai pengajaran untuk kita terus maju ke hadapan, bersama dalam keadaan yang bertambah kukuh.

8. Marilah kita sama-sama memohon kepada Allah agar segala keputusan yang telah dan bakal dibuat mendapat bimbingan Nya dan akan menambahbaik parti sambil mengukuhkan lagi kedudukan PH. Marilah kita merapatkan saff dan membaharui iltizam untuk membawa kemenangan dan kebaikan bagi AMANAH dan PH.

Apa yang berlaku pada 26hb November tidak menjejaskan langsung komitmen kami untuk menolak kerajaan PN bawah TSMY yang tetap dianggap sebagai kerajaan pintu belakang yang tidak memiliki mandat sah dari rakyat.

KHALID ABD SAMAD

Pengarah Komunikasi Amanah

Pada 28 November 2020.

 

No comments: