UMNO didakwa turut menamakan calon sendiri untuk mengisi kekosongan jawatan Yang Di Pertua Dewan Negara walaupun Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sudah mencadangkan nama Dr Rais Yatim.
Hal itu menarik perhatian kerana ia membayangkan UMNO sendiri tidak menerima pencalonan Dr. Rais walaupun pemimpin Bersatu Negeri Sembilan itu asalnya dari parti tersebut.
Menurut sumber, asalnya Muhyiddin menamakan Dr. Rais pada pertengahan Ogos lalu.
Bagaimanapun katanya, belajar daripada insiden penukaran Yang Di Pertua Dewan Rakyat baru-baru ini, pembangkang turut mengemukakan calon sendiri.
Justeru dua nama ditampilkan, masing-masing Senator Yusmadi Yusoff dan Senator Theodore Douglas Lind.
Yusmadi dicadangkan oleh Ahli Dewan Negara dari Negeri Sembilan, Ahmad Azam Hamzah, manakala nama Lind – yang merupakan wakil Warisan dari Sabah – dikemukakan Senator Marzuki Yahya.
Sumber mendakwa, UMNO tampil mengemukakan nama keempat pada saat-saat akhir iaitu dua hari sebelum Dewan Negara bersidang pada esok, 2 September.
“Pada 31 Ogos seorang senator UMNO mencadangkan nama Mohamad Ali Mohamad untuk dipilih menggantikan SA Vigneswaran,” katanya kepada Malaysiakini.
Kata sumber itu, pada asalnya tidak nampak ada masalah untuk semua parti kerajaan menerima Dr. Rais sebagai calon bersama, namun perjalanan politik bekas Timbalan Presiden Parti Semangat 46 itu akhirnya tidak disenangi.
“Dr. Rais sudah menjadi ‘musuh bersama’ buat banyak parti, sama ada pembangkang atau UMNO,” kata sumber itu lagi.
Untuk rekod, selepas Semangat 46 dibubarkan, Dr. Rais bersama pemimpin lain parti itu menyertai UMNO.
Bagaimanapun dia kemudian menukar partinya sekali lagi dengan menyertai Bersatu sebaik hilang kuasa pada PRU14 lalu.
Bekas Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah, bagaimanapun kekal bersama UMNO dan ketika ini dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat parti berkenaan.
Sementara itu, Muhamad Ali yang dihubungi Malaysiakini mengesahkan dia tahu namanyabdicalonkan untuk mengisi kekosongan yang ada di Dewan Negara.
“Tetapi saya tak pasti sama ada nama saya benar-benar diserahkan secara rasmi ke Dewan Negara untuk dipertimbangkan atau tidak,” katanya.