HENTIKAN PUTAR BELIT FAKTA LAWATAN MENTERI SAWIT PAS KE TURKI DAN MENYAMAKAN KISAH BURUNG HUD HUD DALAM AL QURAN



Percubaan Mursyidul Am PAS, Dato' Hashim Jasin mempertahankan dan membela Menteri Industri Perusahaan dan Komoditi, Datuk Khairuddin Aman Razali yang terbukti bersalah melanggar Perintah Kuarantin Wajib 14 hari selepas balik dari Turki adalah amat dikesali.

Ucapan berupa gesaan dan hasutan ke atas ahli-ahli Pas agar melihat dan menganggap Khairudin sebagai wira yang menyelamatkan Malaysia dengan pelaburan yang kononnya berjaya dibawa balik dari Turki pada waktu negara kita menghadapi kemelesetan ekonomi, jelas adalah sikap yang tidak bertanggungjawab. Membuktikan Pas sanggup berbuat apa sahaja demi mempertahankan pemimpin dan pandangan mereka sekalipun ternyata salah serta tidak selari dengan undang-undang negara.

Tindakan Mursyidul Am PAS itu juga yang mengumpamakan lawatan Menteri Khairuddin ke Turki sebagai menyamai kisah 'burung hud-hud' bersama Nabi Sulaiman a.s sepertimana yang diceritakan oleh kitab suci Al Quran adalah sangat semberono dan bersifat melampau. Ia upaya mengundang persepsi negatif kepada agama Islam itu sendiri. Perumpamaan itu juga tidak tepat, malah tidak cocok sama sekali.

Pertama, kisah burung hud-hud yang diceritakan dalam Al Quran itu berlaku di luar pandemik atau pun wabak yang telah menjejaskan sekurang-kurangnya 25.1 juta orang dan membunuh sekurang-kurangnya 844,000 nyawa manusia di di seluruh dunia .
Kedua, tiada arahan dan SOP Kuarantin Wajib 14 Hari yang dikuatkuasakan pada masa itu oleh Nabi Sulaiman a.s . Sedangkan dunia hari ini umumnya telah menerima pakai peraturan dan SOP khusus sejak pandemik Covid-19 tercetus.

Tindakan undang-undang telah diambil kepada semua yang melanggari peraturan dan melakukan kesalahan tanpa mengira sama ada mereka rakyat biasa ataupun pemimpin-pemimpin negara. Setakat ini sahaja pun, sudah kurang lebih enam orang pemimpin beberapa buah negara terpaksa melepaskan jawatan dan kedudukan masing-masing dalam kerajaan akibat kesalahan engkar arahan dan SOP Covid-19.

Jika dulu Malaysia terkenal dan dimalukan oleh Najib disebabkan 1MDB, kini sekali lagi Malaysia terkenal dan dimalukan oleh Pas dan Khairuddin akibat keangkuhan memperhebatkan kesalahan melanggar Perintah Kuarantin Wajib 14 hari.

Saya ingin mengingatkan Dato' Hashim Jasin bahawa lawatan Menteri Khairuddin ke Turki adalah lawatan peribadi bersama dengan isteri dan sahabatnya. Lawatan tersebut bukan dibiayai oleh kerajaan dan ia langsung tidak membawa balik apa-apa pelaburan sepertimana yang didakwa!

Justeru, kenyataan Mursyidul Am PAS yang cuba menyamakan Menteri Khairuddin dengan burung hud-hud pada zaman Nabi Sulaiman a.s sepertimana diceritakan di dalam kitab Al Quran adalah satu percubaan bersifat wewenangan dan tidak wajar. 

Bahkan, Khairuddin jauh sekali daripada boleh dianggap sebagai wira yang menyelamatkan Malaysia dengan pelaburan yang kononnya berjaya dibawa dari Turki.

Kenyataan Dato' Hashim Jasin menyalahkan Kementerian Luar Negara dan Kementerian Kesihatan sebagai telah menyebabkan Menteri Khairuddin tidak memakai gelang tangan merah jambu juga adalah suatu tindakan dan sikap yang sama sekali tidak wajar, malah mengejutkan. Sebagai seorang Menteri Kabinet, Khairuddin seharusnya lebih tahu dan sedar darihal Perintah memakai gelang tangan merah jambu dan menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari luar negara memandangkan ini adalah keputusan Kabinet. 

Maklumat ini juga telah selalu diwar-warkan oleh kerajaan melalui media massa sama ada cetak mahupun elektronik.
Islam mengajar kita tentang kepentingan mematuhi undang-undang dan menjaga kebajikan dan keselamatan masyarakat umum. Justeru, suka saya menyeru agar Dato' Hashim Jasin memberi fakta yang benar sebelum mengeluarkan kenyataan membela Menteri Khairuddin. 

Kegagalan memberi maklumat serta kenyataan yang benar itu nanti hanya akan menggalakkan lebih ramai mengikut jejak langkah Khairuddin untuk melarikan diri daripada Perintah Kuarantin dan seterusnya menyumbang kepada kemungkinan merebaknya wabak Covid-19 di kalangan masyarakat Malaysia.

Akhirnya, saya juga ingin bertanya kepada Menteri Khairuddin darihal gambar percutiannya bersama isteri yang telah tersebar, adakah beliau bercuti ke Turki ataupun sebenarnya ke Holland dan England?

HJH AIMAN ATHIRAH SABU
Ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia
Kuala Lumpur,
31 Ogos 2020


No comments: