Perjuangan reformasi beri impak lebih besar di bawah GRM







Perjuangan Reformasi selama 22 tahun akan mendapat impak yang lebih hebat selepas ini di bawah Gabungan Reformis Malaysia (GRM), yang menghimpunkan 10 pertubuhan memperjuangkan pembaharuan total di tanah air.

Bagi Presiden Aktivis Rakyat Malaysia (ARM), Khairul Anuar Othman, penubuhan GRM akan melipatgandakan gerak kerja perjuangan Reformasi, termasuk pembelaan kebajikan ke atas para pejuang.

"Saya berterima kasih dengan GRM kerana menggabungkan semua reformis dalam satu gabungan. Bagi ARM kita telah mengumpulkan aktivis di seluruh negara, ahli korporat serta pimpinan parti, terutama dari Pakatan Harapan (PH) untuk kita satukan dalam tindakan berikutnya.

"Kita akan gerakkan dari negeri ke negeri. Reformis berada di seluruh Malaysia. Mereka akan memberi impak yang cukup besar. Hubungan antara mereka itu akan kita satukan. Tiada lagi kabilah atau puak.

"Gabungan ini ada pelan tindakan dan reformis akan dapat dibela nasib serta kebajikan mereka," katanya dalam forum anjuran GRM baru-baru ini.

Menurut Khairul, sebagai pengasas NGO ARM, beliau mempunyai pengalaman melihat pejuang-pejuang Reformasi ditindas, dibuang kerja dan tidak mempunyai pekerjaan tetap akibat memperjuangkan pembaharuan.

ARM katanya, bertindak membela kebajikan mereka, mengumpulkan para pejuang dan merancang strategi bergerak dalam apa jua keadaan termasuk ketika pandemik Covid 19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini.

"Saya bermula bersama reformis ini ketika mereka susah. Saya berkunjung dari rumah ke rumah. Dalam perjuangan ada yang dibuang, diberhentikan kerja, ada yang tidak bekerja. Tetapi bagi kami di ARM, ada peranan dan tanggungjawab terutama membantu mereka, termasuk dalam situasi Covid 19 baru-baru ini," katanya lagi.

Sebagai orang lama dalam Reformasi, Khairul berharap ikon reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diangkat sebagai Perdana Menteri ke 9 dan mentadbir Malaysia dengan penuh kesaksamaan sebagaimana diperjuangkan beliau sejak dua dekad lalu.

Katanya, hanya setelah Anwar diangkat sebagai PM barulah reformis akan berpuas hati dengan perjuangan dan jerih payah selama ini.

"Bagi rakyat yang cintakan kedamaian, sebuah negara maju, makmur dan berkebajikan, saya mengatakan kemelut politik di bawah kerajaan pengkhianat ini harus dikembalikan mandat itu semua kepada PH agar negara kembali stabil.

"Saya percaya sekiranya Anwar diangkat sebagai PM, inshaAllah negara kita lebih makmur maju dan sejahtera. Namun begitu kita sebagai reformis mestilah bersatu hati untuk bekerjasama dan tidak berkhianat antara satu sama lain.

"Kena ingat perjuangan 22 tahun itu tidak mudah, derita dan air mata. Ada antara kami yang telah pergi buat selamanya, ada yang sakit dan sebagainya. Saya percaya semangat ini ada dalam kalangan reformis dan aktivis untuk memastikan kerajaan dan mandat rakyat dikembalikan," katanya.

Forum GRM boleh disaksikan melalui Facebook live di page Gabungan Reformis Malaysia atau page Mustapa Mansor.




No comments: