Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong
mempersoal tindakan pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengenakan
pakaian yang pernah didakwa menyerupai tentera komunis.
Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP itu berkata, beliau sebelum
ini difitnah berbuat demikian ketika membuat pemeriksaan kawalan kuarter pada
2018.
“Dulu, saya difitnah kerana pakai baju korporat. Azwanddin pun
belum bayar RM40,000 dari kes mahkamah.
“Sekarang pula, pemimpin PN pakai baju yang sama. Dah bukan baju
komunis?” sindir Chin Tong lagi.
Dua tahun lalu, Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia
(JMM) Datuk Azwanddin Hamzah memuat naik status di Facebook mendakwa Chin Tong
dengan sengaja berpakaian seperti seragam komunis.
Walhal, pakaian itu adalah baju korporat rasmi (bush jacket)
yang disediakan Kementerian Pertahanan kepada Menteri dan Timbalan Menteri
Pertahanan untuk lawatan kerja khususnya membabitkan lawatan ke markas formasi
dan kem.
Ekoran itu, Chin Tong memfailkan saman terhadap Azwanddin pada
Disember tahun sama selepas Azwanddin pada mulanya enggan memohon maaf terhadap
tuduhannya.
Namun, dia kemudiannya membuat permohonan maaf serta berjanji
untuk tidak lagi mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Chin Tong dan membayar
RM40,000 kepadanya dalam tempoh 90 hari.