SETELAH NAJIB DIHUKUM, LGE DIDAKWA DAN PARTI TUN M BARU DITUBUH, INILAH MASA TERBAIK MUHYIDDIN BUBAR PARLIMEN



Pada jam 4 petang hari ini, Tun Mahathir Mohamad akan mengadakan sidang media mengumumkan parti baru yang bakal menjadi wadah baru perjuangannya.

Beliau difahamkan telah mengambil alih sebuah parti yang telah didaftarkan dan akan menukarnya kepada nama Parti Bersatu Rakyat Malaysia.

Keputusan Tun Mahathir menubuhkan parti baru bersama bekas pemimpin-pemimpin Bersatu yang dipecat adalah berikutan keputusan Mahkamah Tinggi pagi tadi yang membenarkan permohonan Muhyiddin Yassin untuk membatalkan saman bekas Pengerusi Bersatu itu yang mempertikaikan kesahihan pemecatannya.

Dengan keputusan mahkamah itu, bererti peluang untuk Tun Mahathir kembali ke dalam Bersatu sudah tertutup dan menubuhkan parti baru adalah satu-satunya peluang yang ada untuknya meneruskan perjuangan.

Pagi tadi juga, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah didakwa di Mahkamah Sesyen KL berhubung pertuduhan meminta suapan dalam projek Terowong Dasar Laut di Pulau Pinang.

Pada Isnin dan Selasa depan, Lim akan didakwa lagi di Mahkamah Pulau Pinang.

Pada 28 Julai lalu, bekas Perdana Menteri, Najib Razak telah dihukum bersalah oleh Mahkamah Tinggi KL atas kesalahan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram terkait dana SRC International, sebuah anak syarikat 1MDB yang kini sudah dipindahmilik kepada Kementerian Kewangan.

Beliau dihukum 72 tahun penjara dan denda RM210 juta, tetapi oleh kerana hukuman penjara dijalankan serentak, hukumannya hanya menjadi 12 tahun penjara saja.

Walaupun Najib telah merayu terhadap hukuman yang diterimanya, beliau tidak boleh bertanding dalam PRU akan datang sehingga ada keputusan lain daripada Mahkamah Rayuan berhubung sabitannya.

Dengan ketiga-tiga perkara di atas, sekarang adalah peluang terbaik untuk Muhyiddin membubarkan Parlimen bagi diadakan pilihanraya mengejut untuk beliau memperolehi mandat baru sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin wajar membubarkan Parlimen dengan segera sebelum parti Tun Mahathir dapat dilebarkan sayapnya dan berjaya menarik ahli-ahli Bersatu menyertai parti itu.

Sekarang ini pun sudah ramai ahli-ahli Bersatu yang secara terbuka melalui media sosial mengumumkan mereka keluar parti itu untuk menyertai perjuangan Tun Mahathir.

Lagi lama masa dibiarkan berlalu, ia adalah suatu kelebihan untuk Tun Mahathir mengukuhkan parti barunya dan mungkin akhirnya Bersatu akan kurus kering dengan hanya beberapa ribu ahli saja lagi yang tinggal.

Selain itu, dengan membiarkan masa berlaku juga, ia turut membolehkan Tun Mahathir bersama parti barunya bergabung semula dengan PH dan ini tentunya merupakan ancaman kepada Muhyiddin dalam pilihanraya nanti.

Melalui pertuduhan yang belum dibicarakan terhadap Guan Eng pula, Muhyiddin kini boleh menjadikan isu tersebut sebagai modal kempen untuk menarik lagi sokongan rakyat terhadapnya, terutamanya dalam kelompok pengundi Melayu.

Bersama UMNO dan Pas, beliau tidak mustahil mampu mewujudkan gelombang baru orang Melayu untuk menyokongnya, meskipun pertuduhan terhadap Guan Eng ini akan lebih menjauhkan sokongan pengundi bukan Melayu terhadap kerajaan.

Tetapi, bukankah Muhyiddin sendiri lebih berbangga dengan kedudukannya sebagai Melayu berbanding rakyat Malaysia?

Hukuman bersalah yang telah dijatuhkan mahkamah terhadap Najib adalah juga suatu kelebihan kepada Muhyiddin dari segi politik.

Ini bukan saja bererti Najib tidak boleh bertanding jika PRU diadakan sebelum rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan, malah merupakan peluang sangat terbuka untuk Muhyiddin menonjolkan dirinya agar diterima sebagai satu-satunya calon Perdana Menteri untuk Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

Dalam waktu yang sama, hukuman yang diterima Najib itu juga merupakan tekanan kepada Presiden UMNO, Zahid Hamidi yang sedang berdepan kes perbicaraan di mahkamah dengan meletakkan dirinya dalam keadaan tiada pilihan selain menyokong Muhyiddin.

Dalam keadaan kesnya sedang dibicarakan, tentulah mustahil Zahid Hamidi berani menonjolkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri.

Muhyiddin pula, selagi Zahid Hamidi menjadi Presiden UMNO dan sedang berdepan perbicaraan mahkamah inilah satu-satunya kelebihqn untuknya dapat bertegas agar parti itu memilih dan menyokongnya lagi sebagai Perdana Menteri.

Jika selepas pemilihan UMNO tahun depan dan orang lagi menjadi Presiden UMNO, kuasa Muhyiddin untuk bertegas dan menekan UMNO sudah tiada lagi.

Makanya, tiada masa lain selain sekarang yang merupakan masa terbaik untuk Muhyiddin membubarkan Parlimen agar semua pihak dalam MN dan PN terus menyokongnya sebagai Perdana Menteri untuk berdepan dengan PH dalam pilihanraya mengejut yang akan diadakan. (Shahbudindotcom 07/08/2020)

No comments: