Projek runding terus era PH hanya RM352 juta



Pendedahan senarai 101 projek runding terus yang diluluskan pada era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) oleh Kementerian Kewangan semalam menjelaskan fakta bahawa angka kelulusan sebelum ini yang didakwa sebanyak RM6.61 bilion sebagai tidak benar.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam sidang media di Parlimen pagi tadi mendedahkan hampir 90% projek runding terus era PH adalah projek yang diluluskan kerajaan BN tetapi dirunding semula untuk menjimatkan kos.

"(Runding terus era PH) RM352 juta, bukan RM6.61 bilion. Hanya itu merupakan perolehan baru rundingan terus yang dibuat kerajaan PH
"Daripada senarai ini, RM130 juta atau 48.3% nilai keseluruhannya adalah untuk membina,  mengoperasi dan menyelenggara Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Taman Beringin, Jinjang Utara bagi menggantikan stesen sedia ada.

"Projek ini diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Mungkin lebih baik menteri berkaitan yang begitu lantang menafikan sebarang penawaran projek rundingan terus menjelaskan apa sebabnya projek ini ditawarkan secara rundingan terus," katanya.

Selain itu, menurut Guan Eng, kontrak rundingan terus RM70 juta juga diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mencetak buku teks korikulum standard sekolah rendah akibat kesuntukan masa. Kontrak itu, katanya, mendesak kerana murid-murid tiada buku teks untuk memulakan sesi persekolahan baharu.

"Satu lagi rundingan terus ialah dari Kementerian Pertanian, iaitu operasi bersepadu wabak rabies berjumlah RM2.98 juta. Peruntukan ini terdesak untuk mengatasi wabak rabies di Sarawak," ujarnya.

Guan Eng turut menempelak Menteri Kewangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berusaha mengelirukan Parlimen dan rakyat mengenai kebobrokan PH dalam meluluskan projek.

Menurut beliau, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul juga cuba menutup hakikat bahawa perdana menteri sekarang dan menteri pengkhianat yang kini menjadi menteri PN telah meminta banyak projek runding terus.
"Mereka semua menafikan di Parlimen dan kenyataan akhbar. Penipuan mereka dibongkar dengan pendedahan senarai oleh Kementerian Kewangan semalam.

"Misalnya Kementerian Dalam Negeri meminta RM517 juta, KPKT meminta  RM171 juta. Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali meminta RM1.2 juta dan Kementerian Luar Bandar minta RM7.6 juta.

"Di samping  permintaan menteri-menteri tersebut, projek besar seperti Klang Valley Double Track (KVDT) II mendapat kelulusan kabinet. Sama ada menteri pengkhianat  ini bohong, tidur dalam kabinet atau sibuk mengaturkan Langkah Sheraton, hanya mereka yang tahu," katanya lagi.

Guan Eng menegaskan sekali lagi projek runding terus adalah dibenarkan undang-undang dengan syarat-syarat ketat dan kerajaan PH telah mempertimbangkan berdasarkan syarat-syarat yang digariskan.
"Menteri Kewangan mengakui projek rundingan terus tidak salah dan dibenarkan atas dasar proses perolehan yang memenuhi syarat-syarat, di antaranya perolehan masa krisis atau bencana alam. Perolehan melibatkan keselamatan negara, ATM atau PDRM atau kepakaran khusus.

"Kementerian Kewangan era PH mengamalkan tender terbuka selaras dengan manifesto PRU PH yang menyatakannya dalam janji 23.
"Dengan hanya 0.03% daripada jumlah  keseluruhan perolehan kerajaan PH merupakan projek rundingan terus, jelas PH mengotakan janji untuk menggunakan sistem tender terbuka selaras dengan prinsip ketelusan," katanya lagi.


No comments: